View: 2890|Reply: 0
|
'Abang besar' masih dahaga kejuaraan
[Copy link]
|
|
KUALA LUMPUR: Sudah sedekad trofi Liga Super bertapak di bumi Johor apabila tiada pasukan yang mampu untuk merampasnya daripada Johor Darul Ta'zim (JDT) sejak 2014.
Malah, sejak dua tahun lalu, Harimau Selatan menunjukkan penguasaan lebih hebat apabila menyapu bersih semua piala yang dipertandingkan termasuk Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
Turut mempertahan Piala Sumbangsih, ia menyaksikan juara Piala AFC 2015 itu meraih gelaran 'double quadruple' atau memenangi empat piala dalam satu musim dua tahun berturut-turut pada 2022 dan 2023.
Bakal memasuki musim baharu 2024-2025, tiada tanda-tanda JDT mahu mengendurkan momentum penguasaan mereka, sebaliknya 'abang besar' Liga M itu dilihat masih dahagakan kejuaraan dan mencipta sejarah baharu.
Tidak dinafikan, sebahagian pemerhati dan peminat bola sepak tanah air menaruh harapan ada pasukan yang mampu untuk menamatkan dominasi Harimau Selatan atau pun paling kurang memberi saingan lebih sengit.
HARIMAU SELATAN DIJANGKA TERUS MENGAUM
Sebut sahaja nama JDT, pasti ia menimbulkan rasa gerun semua pasukan Liga M untuk berdepan pasukan Harimau Selatan yang memegang gelaran 'Raja Bolasepak Malaysia' ketika ini.
Musim 2022 dan 2023 menjadi antara musim paling cemerlang buat Harimau Selatan kerana bukan sahaja memenangi 'double quadruple', malah mereka juga tidak tewas dalam semua pertandingan domestik.
Jalil Elias (kiri) dan Francisco Geraldes.
Skuad kendalian Hector Bidoglio dilihat akan tampil dengan aksi lebih garang susulan kemasukan beberapa bintang baharu terutama dua pemain termahal Liga Super, Jalil Elias dan Francisco Geraldes.
Elias diletakkan nilai pasaran oleh laman transfermarkt.com dengan tanda harga RM15.2 juta manakala Francisco Geraldes bernilai RM12.7 juta dengan kedua-duanya beraksi di bahagian tengah.
Berdasarkan beberapa faktor termasuk prestasi lalu dan skuad lebih lengkap dimiliki JDT, maka tidak hairan mengapa penganalisis, pemerhati dan peminat Liga M menganggap Harimau Selatan akan terus kekal menguasi saingan domestik.
SELANGOR, TERENGGANU PENCABAR UTAMA JDT
Meskipun JDT diramal terus 'memerintah' Liga M, namun beberapa pasukan tetap diletakkan dalam senarai pencabar Harimau Selatan untuk merebut kejuaraan.
Antara pasukan yang diletakkan harapan untuk menjadi pencabar JDT termasuk Selangor, Terengganu dan Sri Pahang selain Sabah, Perak serta Kedah Darul Aman (KDA).
Selangor FC.
Selangor dan Terengganu dilihat sebagai pencabar terdekat Harimau Selatan berdasarkan nilai skuad yang mereka ada ketika ini selain status kewangan yang kukuh.
Bagaimanapun, Selangor yang juga naib juara Liga Super musim lalu hilang watak penting apabila Tan Cheng Hoe membuat keputusan mengejut berhijrah ke kelab Thailand, Police Tero FC pada Februari lalu.
Tindakan bekas pengendali skuad kebangsaan itu memberi tamparan hebat buat Gergasi Merah ketika sebahagian persiapan mereka untuk menghadapi musim 2024-2025 sudah dilakukan.
Kini, mereka perlu mengharapkan sentuhan ajaib daripada pengendali berusia 44 tahun, Nidzam Jamil selepas dia yang sebelum ini bertindak sebagai pembantu kepada Cheng Hoe diberi tanggungjawab besar mengemudi Selangor.
Terengganu pula dijangka tampil dengan persembahan lebih baik berbanding musim lalu dengan pengendalinya, Tomislav Steinbruckner memasuki tahun kedua bersama skuad Penyu.
Kehadiran beberapa pemain baharu terutama dua tonggak yang dipinjam dari JDT, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid menjadi antara gandingan yang sangat dinantikan seluruh penyokong Terengganu.
Sementara itu, Sabah, KDA, Sri Pahang dan Perak dilihat memiliki kekuatan seimbang dengan mereka juga berhak diletakkan sebagai pasukan yang mampu mencabar kedudukan atasan Liga Super selain kejuaraan Piala FA dan Piala Malaysia.
Sabah yang menamatkan saingan Liga Super di tangga ketiga dan terkandas di separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC musim lalu tampak akan mempertaruhkan sebahagian besar pemain musim lalu.
KDA pula yang hampir disingkirkan dari Liga Super musim ini susulan isu tunggakan gaji tampak lebih rancak merekrut pemain baharu termasuk membawa masuk bekas gandingan import Terengganu, Sony Norde dan Habib Haroon.
Turut mendapat semula sentuhan tonggak pertahanan, Rizal Ghazali dan penyerang, Syafiq Ahmad, apa yang lebih penting buat Sang Kenari adalah perlu memastikan sejarah isu tunggakan gaji tidak berulang jika mahu mencabar kejuaraan.
ENAM CALON 'PEMBUNUH GERGASI'
Walaupun tidak diletak sebagai antara pasukan pilihan, namun keupayaan enam lagi pesaing dalam Liga Super musim ini iaitu Kuala Lumpur (KL) City, PDRM, Negeri Sembilan, Penang, Kelantan Darul Naim (KDN) FC dan Kuching City tetap tidak boleh dipandang mudah.
KL City FC.
Berdasarkan sejarah lalu, Kuala Lumpur (KL) City pernah menjadi pasukan 'underdog' yang mencipta sensasi, malah pasukan kerdil, PDRM juga meraih gelaran sebagai 'pembunuh gergasi' dalam saingan musim lalu.
Kejutan terbesar yang pernah dilakar KL City adalah ketika menewaskan JDT 2-0 di pentas akhir Piala Malaysia pada 2021 sebelum skuad City Boys yang dibimbing Bojan Hodak ketika itu turut mencipta sejarah muncul naib juara Piala AFC pada 2022.
Musim lalu juga KL City berjaya melangkah hingga ke final Piala FA sebelum tewas kepada JDT, meskipun mereka hanya menamatkan saingan Liga Super di kedudukan ketujuh.
PDRM yang menutup saingan Liga Super musim lalu di tangga kelapan tetap dianggap berjaya mempamerkan aksi luar jangka apabila mereka mengejutkan pasukan lebih besar seperti Selangor, Sabah, KDA dan Sri Pahang.
KDN FC yang sebelum ini dikenali sebagai Kelantan United pula menjadi antara pasukan yang dinantikan untuk musim ini selepas kelab itu dilaporkan sebagai antara pasukan yang membawa masuk pemain baharu paling ramai termasuk tonggak import.
Malah, pasukan itu juga dicanang bakal mengambil alih tempat sebagai pasukan utama negeri Kelantan selepas ketiadaan Kelantan FC yang disingkirkan dari Liga Super kerana isu tunggakan gaji.
Penjenamaan semula yang dibuat pengurusan kelab terhadap skuad itu bermula musim ini menyaksikan mereka berjaya menarik lebih ramai penyokong untuk hadir ke stadium.
https://www.bharian.com.my/sukan ... ih-dahaga-kejuaraan |
|
|
|
|
|
|
| |
|