|
JACKSON menutup mulut pengkritik apabila meledak dua gol ketika membantu Chelsea membelasah West Ham 5-0 malam kelmarin. – AFP
LONDON – Chelsea terus menampilkan aksi cemerlang dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) setakat ini selepas membelasah West Ham United 5-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stamford Bridge malam kelmarin.
Kemenangan itu sekali gus terus menyalakan harapan The Blues untuk melayakkan diri ke kancah bola sepak Eropah musim depan dengan saingan liga musim ini berbaki tiga perlawanan sahaja lagi.
Pengurus Chelsea, Mauricio Pochettino menyuarakan rasa gembira atas kemenangan itu dan menganggap ia sebagai hasil daripada kerja keras mereka selama ini dalam mencari taktikal terbaik.
“Kami sangat gembira dan bangga dengan kemenangan ini. Semua pemain harus diberikan pujian kerana masih mampu menampilkan aksi terbaik biarpun baru sahaja bermain beberapa hari yang lalu.
“Pasukan ini dikritik kerana insiden penalti ketika menentang Everton, bagaimanapun ia adalah perkara biasa memandangkan sebahagian besar pemain Chelsea masih muda. Jadi, ia menjadi pengajaran kepada mereka,” katanya.
Pada perlawanan itu, The Blues mencetak lima gol menerusi Cole Palmer, Conor Gallagher, Noni Madueke serta dua jaringan Nicolas Jackson.
Mengulas peluang Chelsea melayakkan diri ke saingan Eropah musim depan, Pochettino menjelaskan, mereka masih meletakkan harapan memandangkan hanya dibezakan beberapa mata dengan kelayakan tersebut.
“Sejak awal musim lagi, kami memang meletakkan sasaran untuk layak kerana kami adalah Chelsea. Sekarang tugas kami adalah untuk menjadi lebih matang dan cuba merebut peluang ke saingan Eropah,” ujarnya. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2024/05 ... -peluang-ke-eropah/ |
|