|
MOYES berjaya menaikkan West Ham di peringkat Eropah. FOTO AFP
London: Pengurus West Ham United, David Moyes akan meninggalkan kelab London timur itu dengan persetujuan bersama apabila kontraknya tamat pada akhir musim, kata kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
Bekas jurulatih Manchester United dan Everton berusia 61 tahun itu, yang kembali untuk kali kedua di Stadium London pada 2019, membimbing West Ham menjulang trofi utama pertama mereka sejak Piala FA pada 1980 apabila mereka memenangi Liga Konferensi Europa musim lalu.
Pengurus Sepanyol, Julen Lopetegui kerap dikaitkan untuk menggantikan Moyes di West Ham.
Lopetegui, 57, kali terakhir mengendalikan Wolverhampton Wanderers, manakala sebelum ini pernah mengendalikan Sevilla, Real Madrid dan pasukan kebangsaan Sepanyol.
"Bagi semua pihak di West Ham United, saya ingin mengucapkan terima kasih dan terima kasih juga kepada David atas sumbangan yang diberikan kepada kelab bola sepak ini semasa menjadi pengurus," kata Pengerusi Bersama, David Sullivan dalam satu kenyataan.
"David bertanggungjawab untuk tempoh kemajuan dan kejayaan besar dalam sejarah kami, dan kami amat berterima kasih atas semua kerja keras, komitmen dan dedikasinya terhadap peranan itu.
"Dengan membuat pengumuman ini sekarang, ia membolehkan David menerima sanjungan yang sepatutnya daripada penyokong West Ham dan untuk kita semua menunjukkan penghargaan kami kepadanya pada perlawanan terakhir di laman sendiri musim ini menentang Luton Town pada hari Sabtu."
West Ham berada di tempat kesembilan dalam kedudukan liga dengan 49 mata dan menjadi tuan rumah kepada Luton Town yang terancam penyingkiran sebelum menamatkan kempen mereka dengan berkunjung berdepan juara bertahan Manchester City pada 19 Mei.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... tinggalkan-west-ham |
|