Kepala Batas: Seorang wanita maut dipercayai akibat lemas selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya terbabas dan terjatuh ke dalam sungai di Jalan Lahar Kepar, Penaga, di sini, pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Muda dengan bantuan Pasukan Penyelam Di Air (PPDA) bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan jam 7.39 pagi bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.
Katanya, ketika tiba pihaknya menemui Perodua Alza di dasar sungai dan terdapat seorang mangsa wanita berusia 40 tahun berada dalam kenderaan terbabit.
"Anggota kemudian menjalankan tugas-tugas mengeluarkan mangsa dengan bantuan unit PPDA.
"Mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 9.55 pagi dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi.
"Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Operasi tamat jam 10.06 pagi.