Kuala Kedah: Hasil tangkapan ikan yang berkurangan sejak seminggu lalu menyebabkan harga ikan kembung meningkat bergantung pada saiz.
Tinjauan di pelantar ikan Kampung Seberang Kota, di sini mendapati, hasil tangkapan yang diperoleh nelayan tidak banyak walaupun permintaan meningkat.
Peniaga ikan, Khadijah Md Shah, 48, berkata, kebanyakan peniaga ikan di pelantar itu tidak dapat berniaga disebabkan kekurangan tangkapan ikan.
Katanya, harga ikan kembung meningkat kepada RM8, RM10 dan RM12 sekilogram berbanding harga sebelum ini antara RM4, RM6 dan RM8 sekilogram.
"Bagaimanapun harga itu bergantung pada saiz ikan yang dijual dan tidak menentu setiap hari bergantung pada hasil tangkapan yang diperoleh.
"Antara faktor yang menyebabkan kurangnya hasil tangkapan ikan dan hasil laut lain adalah disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu selain angin kuat di tengah laut.
"Peniaga tidak dapat berniaga sejak beberapa hari lalu dan hanya sebilangan kecil yang turun berniaga. Saya berharap keadaan ini normal kembali serta hasil tangkapan terus meningkat," katanya di sini, hari ini.
Khadijah berkata, dalam sehari, nelayan hanya mampu memperoleh hasil tangkapan sekitar 100 kilogram (kg) hingga 200 kg sehari berbanding sehingga satu tan ketika musim ikan banyak.
Sementara itu, nelayan, Ishak Ahmad, 68, berkata, mereka hanya turun ke laut pada waktu awal pagi dan pulang bergantung pada keadaan cuaca dan hasil tangkapan.
Katanya, hasil tangkapan laut lain seperti udang dan sotong pula sukar diperoleh pada waktu ini dan jika ada sekali pun harganya meningkat.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Abdul Hamid Bahari berkata, walaupun berlaku sedikit kekurangan bekalan ikan ketika ini namun harganya tidak terlalu tinggi dan masih kekal bergantung hasil tangkapan.