KUALA NERANG: Pencarian pemancing lelaki yang dikhuatiri lemas di Empangan Tasik Pedu di sini diteruskan pada hari ketiga sejak mangsa dilaporkan hilang.
Ketua Zon I, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminudin Abd Rahim berkata, operasi yang bermula jam 8 pagi hari ini bertumpu di sekitar kawasan mangsa dilaporkan terjatuh Khamis lalu.
Beliau berkata, pencarian mangsa membabitkan pergerakan dari Unit Anjing Pengesan (K-9), Unit PPDA dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) JItra dan Sungai Petani serta anggota dari BBP Kuala Nerang.
"Selain itu, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Padang Terap turut terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini.
"Anggota dari Jabatan Perhutanan membuat pemantauan dari udara dengan menggunakan dron pada pagi ini untuk tujuan pemantauan udara dan membuat plot kawasan pencarian," katanya ketika dihubungi hari ini.
Ahmad Aminudin berkata, setakat ini hanya barangan milik mangsa ditemui di lokasi pencarian semalam.
Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki berusia 41 tahun yang masih hilang selepas bot yang dinaiki bersama rakannya terbalik ketika memancing di Empangan Tasik Pedu, di sini kelmarin.
Bagaimanapun, rakannya yang berusia 55 tahun berjaya diselamatkan orang awam yang menyedari kejadian itu sebelum pihak bomba sampai.