|
PIALA AFF akan berlangsung hujung tahun ini. FOTO AFF
Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya mampu menarik nafas lega apabila meraih undian mudah dalam saingan Piala AFF hujung tahun ini selepas diundi dalam Kumpulan A.
Menerusi undian yang diadakan hari ini, anak buah Kim Pan-gon itu diletakkan bersama juara bertahan, Thailand disusuli juara tiga kali, Singapura, Kemboja dan pemenang antara Brunei atau Timor Leste.
Manakala, aksi Kumpulan B pula menyaksikan persaingan agak sengit membabitkan dua gergasi Asean iaitu Vietnam, Indonesia, Filipina, Myanmar dan Laos.
Berdasarkan format pertandingan, aksi peringkat kumpulan menyaksikan setiap negara berpeluang menjadi tuan rumah dalam dua perlawanan dan dua aksi lagi di tempat lawan secara liga sepusingan.
Dua pasukan terbaik akan mara ke separuh akhir yang akan dilangsungkan secara timbal balik dan pemenang akan beraksi di final, juga berjalan secara timbal balik.
Pada edisi lalu, skuad negara terkandas di separuh akhir apabila tewas di tangan Thailand dengan agregat 1-3, selepas menang 1-0 di Bukit Jalil sebelum tumbang 0-3 di Bangkok.
Untuk rekod, Malaysia pernah muncul juara Piala AFF pada 2010 di bawah kendalian Datuk K Rajagobal dan tiga kali naib juara pada 1996, 2014 dan 2018.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... eroleh-undian-mudah |
|