|
Bekas bos Brighton, Roberto De Zerbi antara calon utama membimbing Chelsea musim depan. - Foto AGENSI
LONDON: Bekas bos Brighton, Roberto De Zerbi antara calon utama mengisi kekosongan ditinggalkan Mauricio Pochettino di Chelsea.
De Zerbi, pengendali Ipswich, Kieran McKenna, Enzo Maresca (Leicester) dan Thomas Frank (Brentford) membarisi senarai pendek calon pengendali di Stamford Bridge.
Sumber kelab menyatakan, pengendali dari Itali berusia 44 tahun itu antara pilihan utama Chelsea, walaupun belum ada keputusan dibuat.
Chelsea mencari pengendali yang menepati falsafah kelab serta mempunyai pengalaman dalam bola sepak Inggeris di peringkat tertinggi.
De Zerbi membimbing Brighton sepanjang dua musim lalu di Liga Perdana Inggeris, membawa mereka ke pentas Eropah buat pertama kali dalam sejarah kelab.
Walaupun mempunyai kontrak sehingga tahun 2026, De Zerbi meninggalkan Brighton dengan persetujuan bersama pada akhir musim lalu.
Jika Chelsea berjaya menandatangani De Zerbi, mereka masih perlu membayar pampasan kepada Brighton, dianggarkan sekitar 5 juta pound (RM30 juta).
Sekiranya menyertai Chelsea, De Zerbi akan kembali bergandingan dengan Levi Colwill dan Moises Caicedo, serta Mykhailo Mudryk ketika mereka berada di Shakhtar Donetsk. Pengarah sukan Chelsea, Paul Winstanley juga pernah bekerjasama dengan De Zerbi di Brighton. - AGENSI
https://www.bharian.com.my/sukan ... ama-bimbing-chelsea |
|