
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah menandatangani buku kedatangan semasa lawatan ke Pejabat Speaker DUN Perlis sambil diperhatikan Speaker DUN Perlis, Rus'ele Eizan, di Kompleks DUN Perlis, Kangar. Foto NSTP Aizat Sharif
KANGAR: PAS membayangkan parti itu akan meletakkan calonnya untuk mewakili Perikatan Nasional (PN), khususnya di Kelantan sekiranya kerusi Parlimen Gua Musang, Jeli serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri sah dikosongkan untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK).
Langkah ini adalah susulan krisis enam Ahli Parlimen dan seorang DUN PN dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah, berkata perancangan itu bagaimanapun tertakluk kepada proses rundingan dan perbincangan bersama rakan komponen utama dalam PN iaitu BERSATU.
"Sudah pasti, PAS sentiasa bersedia jika diberi laluan dan sudah pastinya kita akan berbincang sebab ada beberapa pandangan dalam kalangan gabungan ini jika berlaku PRK di kawasan berkenaan.
"Wujud persoalan adakah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan mengekalkan calon mereka di semua kerusi berkenaan atau mungkin ditandingi parti lain seperti mana di Kuala Kubu Bharu sebelum ini.
"Macam di PRK Kuala Kubu Bharu lalu kerusi itu adalah milik Gerakan, namun di dalam PRK itu BERSATU yang bertanding," katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Speaker DUN Negeri Perlis di Kompleks DUN Perlis, di sini hari ini.
Mohd Amar yang juga Speaker DUN Kelantan berkata segala perancangan yang cuba diusahakan sekiranya berlaku PRK pada enam kerusi Parlimen dan satu DUN itu tetap akan ada perubahan tetapi ia bergantung kepada perbincangan yang dilaksanakan bersama.