|
PEMAIN tengah Belgium Jeremy Doku (dua dari kiri). Romelu Lukaku (tiga dari kanan) De Bruyne (kanan) menjalani latihan bersama pasukan kebangsaan. -FOTO AFP
London: Kevin De Bruyne mengakui dia "terbuka untuk apa saja" apabila ditanya tentang kemungkinan meninggalkan Manchester City untuk menyertai Liga Pro Saudi.
Pemain tengah itu menuju ke tahun terakhir kontraknya bersama City yang disertainya pada 2015 selepas berhijrah dari kelab Bundesliga Wolfsburg.
Sejak itu, City memenangi enam kejuaraan Liga Perdana, lima Piala EFL, dua Piala FA, Liga Juara-Juara dan Piala Dunia Kelab, dengan De Bruyne memainkan peranan utama dalam kejayaan pasukannya.
Bagaimanapun, pemain berusia 32 tahun itu terpaksa akur dengan peranan yang semakin terhad semasa musim 2023-24, di mana City mencipta sejarah meraih mahkota liga keempat berturut-turut, namun pemain itu hanya bermain 26 kali selepas terpaksa berehat lima bulan kerana kecederaan.
Dia mendedahkan bahawa sedia mempertimbangkan untuk meninggalkan Stadium Etihad, selepas boleh "mendapat jumlah wang yang luar biasa" dengan menghabiskan dua tahun di Arab Saudi.
"Saya masih mempunyai satu tahun kontrak saya, jadi saya perlu memikirkan apa yang boleh berlaku," kata De Bruyne.
"Bagi Michele (isterinya), penghijrahan eksotik bukan satu masalah. Ini juga perbualan yang kami bincangkan sebagai sebuah keluarga.
"Anak sulung saya sekarang berusia lapan tahun dan tidak tahu apa-apa kecuali England. Dia juga bertanya berapa lama saya akan bermain di City. Apabila masanya tiba, kita akan perlu menanganinya dengan cara tertentu.
"Pada usia saya, anda perlu terbuka kepada apa saja. Anda bercakap tentang jumlah yang luar biasa dalam apa yang mungkin menjadi penghujung karier saya. Kadang-kadang, anda perlu memikirkan tentang itu."
Kapten Belgium itu sedang bersiap sedia untuk Euro 2024, di mana pasukan Domenico Tedesco akan menentang Ukraine, Romania dan Slovakia dalam Kumpulan E.
Mereka akan melengkapkan persiapan dengan perlawanan persahabatan menentang Montenergro dan Luxembourg minggu ini.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... rtai-liga-pro-suadi |
|