Arau: Peluang dibebaskan lebih awal dari penjara menjelang Aidiladha menjadi detik tidak dapat dilupakan kepada seorang bapa muda selepas menjadi salah seorang daripada 15 banduan atau prospek yang dibebaskan menerusi program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani: Kepulangan Yang Dinanti sempena sambutan Hari Raya Aidil Adha 2024.
Menurutnya, menjadi orang bebas berlesen (OBB) memberi peluang kepada lelaki dikenali Din, 24 untuk bersama-sama meraikan Aidiladha bersama isteri dan anak lelakinya yang berusia setahun.
"Saya berada di sini (Pusat Koreksional Perlis) atas kesalahan dadah dan ia memberi keinsafan kepada saya.
"Apabila berpeluang menjadi OBB, saya sangat bersyukur kerana inilah peluang kedua buat saya bertemu anak dan isteri.
"Sejujurnya, saya berasa sedih dan gembira di atas peluang yang diberikan, namun saya nekad untuk menjadikan kesempatan ini sebagai satu peluang buat saya berubah demi kebahagiaan anak dan isteri saya," katanya ketika ditemui di Pusat Koreksional Perlis di sini hari ini.
Sementara itu, bagi seorang pemilik syarikat mencuci kereta dan kebun yang menyertai program PBSL, Ahmad Hafizal Husni berkata, dia melihat program itu sebagai satu cara untuk memberi peluang kepada prospek berkenaan untuk diambil bekerja dalam bidang perkhidmatan yang ditawarkan.
"Pada pendapat saya, masyarakat perlu memberi peluang kedua kepada OBB dengan memberi pekerjaan kepada mereka supaya mereka dapat berdikari sebagai peluang kedua mereka.
"Sepanjang pengalaman saya lebih dua tahun mengambil mereka bekerja, saya tidak menghadapi masalah dengan OBB yang bekerja dan ada dalam kalangan mereka juga terus bekerja dengan syarikat saya sehingga hari ini.
"Daripada majikan mengambil pekerja asing, saya rasa lebih baik mereka mengambil prospek yang dibebaskan untuk bekerja seterusnya sebagai usaha membantu mereka tidak lagi kembali semula ke penjara," katanya.