GEORGETOWN: Jabatan Perikanan Pulau Pinang akan melepaskan 1.25 juta benih udang galah, ikan baung dan ikan lampam di perairan Sungai Kerian, Sungai Muda serta Sungai Prai dekat sini pada Ogos hingga Oktober ini.
Jabatan itu menerusi kenyataan memaklumkan pelepasan benih itu akan memanfaatkan 319 nelayan darat susulan peruntukan yang diluluskan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) baru-baru ini.
"Bagi memperhebatkan lagi usaha pemuliharaan sumber perikanan khususnya di perairan sungai negeri ini, Jabatan Perikanan telah membuat permohonan kepada KPKM melalui kerajaan negeri dan baru diluluskan RM350,000 untuk memperhebatkan program pelepasan benih ikan dan udang ke perairan umum di negeri ini," menurut kenyataan itu.
Jabatan Perikanan Pulau Pinang juga memaklumkan sudah melepaskan 275,000 benih udang galah bernilai lebih RM41,000 di Sungai Muda, Kepala Batas hari ini dan daripada jumlah itu, dianggarkan 8.3 tan metrik udang galah bernilai RM247,500 akan hidup, sekali gus diperoleh nelayan, pemancing serta penduduk setempat.
Menurut kenyataan itu, pelepasan berkenaan diharap dapat menyumbang secara langsung kepada peningkatan pendapatan 81 nelayan di tujuh jeti atau pangkalan di sepanjang Sungai Muda iaitu Pangkalan Rantau Panjang, Titi Merdeka, Guar Kepah, Pantai Kamloon, Bongor, Ekor Kuching dan Tanjung Rambai.
Pada 20 Mac lalu sebanyak 99,000 benih udang galah dilepaskan di pangkalan nelayan Tanjung Berembang di Nibong Tebal, diikuti 50,000 benih udang galah dan 15,000 benih ikan lampam dilepaskan di pangkalan nelayan Sungai Korok di Tasek Gelugor pada 30 April.
– BERNAMA