Daripada Abi Darda, Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Masjid itu rumah bagi orang-orang yang bertaqwa. Allah menjamin kepada orang yang menjadikan masjid sebagai rumahnya dengan roh yang damai rahmat dari Allah melimpah-limpah dan melepasi titian sirat menuju reda Allah di dalam syurga” (HR Tabrani No 6020) Status: Hadis Hasan
Pengajaran:
1. Masjid adalah rumah untuk orang yang bertaqwa.
2. Usahakanlah Masjid sebagai rumah ke dua kita yang tetap kita "pulang" ketika masuk waktu solat fardhu.
3. Allah menjamin kepada orang yang menjadikan masjid sebagai rumahnya untuk dimakmurkan dengan limpahan rahmat kasih sayang Allah yang melimpah ruah.
4. Masjid akan menjadi syafaat kepada pemakmurnya di hari kiamat sebagai kenderaan untuk melintas titian sirat menuju ke syurga.
5. Jadikanlah kunjungan ke masjid sebagai bukti keimanan kita. Sabda Nabi SAW:
Daripada Abi Said al-Khudri daripada Rasulullah SAW, baginda bersabda: Apabila kamu melihat seseorang lelaki sentiasa mengunjungi masjid, maka saksikanlah yang ia adalah seorang yang beriman” (HR Ibn Majah No : 794)
Masjid Quba dan Masjid Madinah adalah bangunan pertama yang Rasulullah dirikan dalam peristiwa hijrah sebagai asas pembinaan ummah. Ayuh ajak ahli keluarga kita bersama untuk memakmurkan masjid. Semoga ia menjadi syafaat untuk kita memasuki Syurga.