CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 56659|Reply: 0

[Johor] Kapal MT Ceres 1 'hilang'

[Copy link]
Post time 21-7-2024 08:00 AM | Show all posts |Read mode

Pengarah Bahagian CARILAMAT dan Bantuan Bencana Maritim, Maritim Malaysia, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Mad Yunus, menunjukkan gambar Kapal MT Ceres 1, yang 'hilang' dari lokasi insiden perlanggaran di perairan Tanjung Balau, pada sidang media di Zon Maritim Sedili, di sini, hari ini. FOTO IHSAN MARITIM MALAYSIA


Kota Tinggi: Kapal yang terbabit dalam insiden perlanggaran di Perairan Tanjung Balau, di sini, semalam, hilang dari lokasi kejadian.

Pengarah Bahagian CARILAMAT dan Bantuan Bencana Maritim, Maritim Malaysia, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Mad Yunus, berkata 'kehilangan' MT Ceres 1, yang berdaftar di Republik Demokratik Sao Tome dan Principe, dari lokasi kejadian disedari dalam operasi mencari dan menyelamat, yang disambung pagi tadi.

Manakala, kapal MT Hafnia Nile yang berdaftar di Singapura dan membawa muatan bahan kimia 'Naptha', sejenis cecair mudah terbakar, dikesan hanyut 52 batu nautika dari lokasi kejadian dan kini berada di Timur Pulau Pemanggil, Mersing.


"Operasi mencari dan menyelamat hari kedua bermula 7 pagi tadi bagi menyelamat kru kapal MT Ceres 1, namun kapal yang membawa minyak mentah berkenaan dikesan meninggalkan kawasan pelanggaran dengan menutup Sistem Pengenalan Automatik (AIS).

"Bagaimanapun, kita percaya kapal sepanjang 300 meter itu masih berada dalam Perairan Malaysia.

"Semakan dan maklumat Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Johor Bahru dan Jabatan Laut Malaysia mendapati nombor pendaftaran maritim kapal (IMO) meragukan dan tindakan kapal berkenaan meninggalkan kawasan insiden amat diragui kerana siasatan masih belum dilakukan.

"Manakala kapal MT Hafnia Nile yang kini hanyut tidak mempunyai kru di atasnya ketika ini. Ini kerana 22 kru kapal itu telah diselamatkan kapal Tentera Laut Singapura, RSS Supreme, yang bertindak sebagai pasukan pertama memberi respon terhadap insiden terbabit kerana berada berhampiran lokasi ketika insiden berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Zon Maritim Tanjung Sedili, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora dan Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor, Azmi Ab Rahim.

Semalam, Maritim Malaysia Johor dilaporkan menggerakkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) susulan insiden perlanggaran kapal MT Hafnia Niledengan MT Ceres 1, awal pagi Jumaat.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim

Datuk Saiful Lizan Ibrahim, dilaporkan berkata, insiden perlanggaran dua kapal itu berlaku di 25 batu nautika Timur Laut Tanjung Balau pada jam 6.55 pagi, semalam.

Mengulas lanjut, Zin Azman berkata, kesemua kru kapal MT Hafnia Nile sudah dibawa ke Singapura untuk rawatan lanjut.

Katanya, kapal MT Hafnia Nile membawa muatan bahan kimia jenis Naptha itu dalam perjalanan dari Singapura menuju ke Jepun.

"Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) JBPM sedang bersiap sedia bagi memantau keadaan kapal MT Hafnia Nile yang kini hanyut berikutan kebimbangan risiko ia terus terbakar dan berlaku letupan.

"Jika kebakaran kapal MT Hafnia Nile sudah terpadam, HAZMAT aka menilai sama ada ia boleh ditunda ke limbungan bagi siasatan dan kerja pembaikan," katanya.

Dalam pada itu, Zin Azman turut mengesahkan berlaku tumpahan minyak di sekitar lokasi insiden pelanggaran dua kapal itu, namun radius keluasan kawasan yang terjejas masih sedang dikenal pasti.

Sehubungan itu katanya, Maritim Malaysia sudah menggerakkan pesawat amfibia Bombardier CL415 MP bermula jam 12 tengah hari tadi bagi melihat kesan pencemaran minyak yang mungkin berlaku.

"Pesawat itu juga digerakkan bagi menjejaki kapal MT Ceres 1 yang hilangkan diri dari lokasi kejadian.

"Akibat perlanggaran, berlaku tumpahan minyak di lokasi dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Laut Malaysia akan melaksanakan pemantauan tumpahan minyak di lokasi kejadian," katanya.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

31-12-2024 03:07 AM GMT+8 , Processed in 0.036760 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list