|
SHAH ALAM: Penyampai radio Hot FM, Fizi Ali belum bersedia untuk mendedahkan wajah bayi termasuk namanya kepada umum.
Fizi atau nama sebenarnya, Mohd Hafizudin Ali, 35, berkata dia hanya akan berbuat demikian selepas isterinya, Siti Zulaikha selesai berpantang.
"Kami belum bersedia mendedahkan wajah anak atas nasihat kerana tak mahu terkena penyakit ain.
"Memang ramai yang bertanya bertanya termasuk saudara mara. Insya-Allah, kami sepakat mendedahkan wajah dan nama anak selepas isteri habis tempoh pantang.
"Nama sudahpun kami pilih, cuma belum didaftarkan sahaja. Namun, takkan ada majlis khas untuk perkenalkan anak.
"Cukup sekadar kami perkenalkan menerusi media sosial sahaja," katanya kepada BH Online.
Berkongsi kehidupannya selepas menimang cahaya mata kedua, Fizi bersyukur kerana pengalaman anak pertama membuatkannya tidak kekok untuk menguruskan bayi.
"Pengalaman anak pertama dulu banyak mengajar saya bagaimana nak sediakan susu, lampin pakai buang dan barang kelengkapan bayi.
"Cuma, sekarang 'baby' kerap berjaga malam, jadi saya kenalah jaga. Kalau nampak mata saya bengkak, faham-fahamlah," cerita Fizi sambil ketawa.
Dalam pada itu, Fizi bersikap terbuka mengenai kemungkinan untuk membuka akaun Instagram khas untuk anaknya.
"Saya tak ada masalah untuk buka akaun media sosial untuk anak kerana di situlah, boleh simpan video berkaitan perkembangan anak.
"Bukan tak nak kongsi dalam media sosial, takut orang bosan pula," kata Fizi ditemui pada majlis pelancaran Bobbysan x Hot FM Ice Hockey Jersey di Bukit Jelutong, Shah Alam, semalam.
Pada 3 Julai lalu, Fizi selamat menimang cahaya mata perempuan selepas isterinya bertarung selama enam jam berdepan kontraksi.
Fizi dan Siti Zulaikha mendirikan rumah tangga pada Oktober tahun lalu. Menerusi perkahwinan terdahulu, masing-masing dikurniakan anak perempuan.
Sebelum itu, Fizi pernah berkahwin dengan pelakon Shakilla Khoriri pada 18 Januari 2018, namun bercerai pada Disember 2021.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Ameena Sofea, 5.
|
|