|
PETALING JAYA – Enggan membiarkan dirinya dihantui mesej atau komen lucah, pelakon Mawar Rashid tidak akan teragak-agak menyekat akaun individu yang berbuat demikian dalam media sosial.
Mawar atau nama lengkapnya Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, 29, berkata, tindakannya itu secara tidak langsung dapat mengelakkan dirinya daripada gangguan berlanjutan.
“Saya tidak mendapat mesej sebegitu, tetapi jika ada, memang saya akan sekat pengguna media sosial yang berbuat demikian.
“Seboleh-bolehnya saya ingin mengelakkan daripada komen-komen berbaur lucah atau gatal, terutama lelaki hidung belang,” katanya.
Pelakon drama Aurora Aisyah itu berkata demikian ketika ditanya tentang reaksi pengguna media sosial terhadap penampilan tidak berhijab sejak Oktober tahun lalu.
Dalam pada itu, ibu tiga anak itu juga mengakui bimbang terhadap kes jenayah melibatkan kes gangguan seksual.
“Menghantar mesej lucah boleh dianggap sebagai gangguan seksual dan ini amat menakutkan saya.
“Orang jahat itu memang ada dan tindakan ini (menyekat akaun media sosial) sebagai salah satu cara untuk mengelak dan melindungi diri daripada saya mendapat mesej lucah” ujarnya.
Pada 2020, Mawar mengambil keputusan untuk berhijab selepas mengikuti kelas pengajian agama di Kelantan.
Bagaimanapun, tiga tahun kemudian Mawar yang bercerai dengan Raf Yaakob pada November lalu memilih untuk tidak lagi bertudung dan memohon maaf kerana gagal istiqamah. |
|