|
KUALA LUMPUR: Terbit rasa rindu dalam hati penyanyi era 1980-an, Zur Eda tatkala berbicara pengalaman manis ketika 'ligat' di pentas nyanyian sehingga menyaksikan namanya berada di puncak kemasyhuran.
Diperkenalkan sebagai penyanyi sejak 1983, pastinya banyak momen pahit manis dalam catatan lipatan kenangan wanita ini.
Ketika ditanya apakah detik paling diingati, penyanyi yang terkenal dengan jolokan 'Sade Malaysia' ini pantas menyingkap kenangan berkunjung ke kawasan pedalaman di Belaga, Kapit, Sarawak.
Zur Eda atau nama sebenarnya, Zuraidah Mokhtar, 59, seronok melihat kehadiran penduduk setempat yang meminatinya ketika bertandang ke Belaga pada 1989.
Namun, Zur Eda berkata, perjalanannya ke Belaga bukanlah sesuatu yang mudah dan berbeza ketika mengadakan persembahan di ibu kota.
"Sebenarnya, saya rindu kenangan menyanyi pada zaman era 1980-an. Ketika itu, tiada persembahan seperti sekarang, artis lebih banyak terbabit dengan persembahan 'fun fair'.
"Antara momen seronok dan pahit yang dilalui ketika menjayakan persembahan di Sabah dan Sarawak. Saya pernah masuk kawasan pedalaman menghiburkan peminat.
"Semuanya sudah saya lalui seperti sungai ada buaya, tempat pembalakan, kawasan ribut dan macam-macam lagi. Kawasan dikunjungi memang betul-betul pedalaman sampaikan ada serangga kelkatu masuk mulut ketika menyanyi.
"Namun, saya pelik dan tertanya-tanya di mana sebenarnya kediaman, nampak pada pandangan mata, tetapi mereka keluar beramai-ramai mahu tengok saya buat persembahan di Belaga.
"Sekarang kawasan ini mempunyai sebuah empangan besar untuk menjana elektrik," katanya kepada BH Online.
Zur Eda tidak menyangka penduduk setempat sangat menghargainya dan tidak berkira membeli tiket, biarpun lokasi persembahan tidak mempunyai penghadang dan boleh ditonton dari luar sahaja.
"Saya dapat lihat bagaimana penduduk setempat hargai saya sebagai artis. Saya ingat lagi lokasi persembahan berbentuk empat segi dan penghadang digunakan tali sahaja.
"Bagaimanapun, mereka tetap bayar untuk masuk dan lihat persembahan saya.
Itu sebagai tanda penghargaan untuk artis.
"Kalau diikutkan, mereka boleh tengok dari luar sebab tiada penghadang diletakkan. Tapi, mereka tetap bayar dan masuk.
"Itu yang saya kagum dengan penduduk kawasan pedalaman," kata penyanyi yang sinonim dengan genre pop, balada dan R&B ini.
Antara lain momen yang sentiasa dikenang Zur Eda ketika terbang ke luar negara bagi menjayakan siri jelajah memperkenalkan Malaysia bersama Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Kementerian Pelancongan.
"Saya lebih kepada 'club singing' dan banyak menyanyi di hotel. Pada era dulu, saya kerap ikut Kementerian Pelancongan untuk buat persembahan di luar negara.
"Semasa era Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, saya pernah bersama rombongannya ke Vietnam untuk siri jelajah bagi memperkenalkan Malaysia.
"Daripada segi bayaran, kalau hendak dibanding dahulu dan sekarang memang jauh beza. Kalau dahulu dapat RM1,000 boleh diibaratkan seperti RM10,000 pada masa ini.
"Dahulu bayaran saya agak lumayan. Saya pernah dapat bayaran RM30,000 untuk persembahan sempena majlis makan malam. Kalau dahulu, angka ini memang cukup besar, tidak macam sekarang," katanya.
Selepas empat dekad berkelana dalam industri muzik tempatan, Zur Eda tidak melupakan jasa wartawan hiburan terkenal era 1980-an hingga 1990-an, Allahyarham Mama Juwie dan Allahyarham Huzz termasuk akhbar dan majalah yang banyak mengangkat kisahnya.
"Kalau dahulu saya bergerak bersama pasukan untuk memenuhi undangan persembahan. Tetapi, dahulu tiada teknologi atau media sosial seperti sekarang.
"Dahulu banyak kisah dikongsi dalam surat khabar dan majalah. Antara wartawan hiburan yang banyak membantu dan dianggap seperti sahabat adalah arwah Mama Juwie dan arwah Huzz.
"Akhbar dan majalah banyak main peranan membantu artis ketika era kegemilangan saya," katanya.
Ketika menyanyi di Kelab Black Jack pada 1984, Zur Eda mengenali suaminya, Zulkifli Mohd Yusof, yang juga pemain gitar bes dan berkahwin setahun kemudian.
Mereka dikurniakan dua cahaya mata, Siti Sarah, 35, dan Mohd Naquib, 28.
Zur Eda pernah menghasilkan tiga album iaitu Pelitaku pada 1987, diikuti Lama Tak Jumpa (1990) dan Kelmarin (1992) sejak bergelar penyanyi pada usia 18 tahun.
|
|