|
HULU KLANG: Wartawan dan penyampai berita TV3, Siti Khadijah Jaafar, 39, selamat diijab kabul dengan pasangannya yang juga penyampai berita RTM, Otto Othman, 40, dalam satu majlis di Zoo Negara hari ini.
Lebih unik, perarakan masuk pengantin turut diiringi 10 ekor burung upih sebagai 'bridesmaid' memasuki dewan.
Memilih Zoo Negara sebagai lokasi persandingan, kedua-dua pasangan pengantin itu diraikan meriah di Dewan Kancil di sini dengan kehadiran kira-kira 300 tetamu.
Sifat sayang kepada haiwan membuatkan Siti Khadijah atau lebih mesra dengan panggilan Khaty, dan pasangannya itu memilih Zoo Negara sebagai lokasi hari bersejarah mereka.
"Saya sangat suka haiwan, begitu juga suami setiap kali berpeluang selepas kerja akan mencari beberapa lokasi untuk memberi kucing jalanan makan.
"Lebih manis, dalam dewan ini terdapat haiwan yang agak jinak seperti angsa, ayam, kura-kura, ular sawa, arnab dan burung kakak tua bagi membolehkan tetamu bergambar," jelasnya.
Dalam majlis itu, tetamu turut berpeluang 'beramah mesra' dengan beberapa haiwan, antaranya ular sawa albino, pelbagai spesies burung dan arnab di ruang zoo mini bersempena majlis itu.
Lebih bermakna buat pasangan itu, apabila menerima tajaan set barangan kemas bertatahkan berlian dan batu permata bernilai RM2.89 juta untuk tiga persalinan pengantin tajaan Habib Jewel.
Sementara itu, Timbalan Presiden Zoo Negara, Datuk Rosly@Rahmat Ahmat Lana yang juga bapa angkat kepada pengantin itu, amat teruja kerana ia merupakan majlis perkahwinan pertama di pusat tarikan pelancongan itu.
"Secara tidak langsung kita juga dapat mempromosikan Zoo Negara dan meningkatkan jumlah kedatangan pengunjung ke sini," katanya ketika ditemui.
Antara tetamu yang hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan isteri, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pithcay dan isteri, dan Presiden Zoo negara, Datuk Sr. Zaharin Md Arif.
Turut memeriahkan majlis, Pengerusi Kumpulan Media Prima Datuk Seri Dr. Syed Hussain Aljunid dan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian TV Media Prima, Nini Yusof serta pengurusan tertinggi Bilik Berita dan Hal Ehwal Semasa TV3.
Selain itu, tetamu yang juga hadir Ketua Pegawai Eksekutif Adabi Consumer Industries Sdn Bhd, Syed Mahadzir Syed Manshor, Hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya, Mohamed Zaini Mazlan dan bekas Panglima Tentera Laut, Tan Sri Ramlan Mohamed Ali dan isteri. |
|