|
Tidak dinafikan pembabitan pemuzik jalanan atau 'busker' merancakkan lagi industri seni hiburan tanah air.
Malah ada di antara mereka diiktiraf sehingga ke peringkat global dek bakat istimewa yang dimiliki.
Justeru Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) mencetuskan program Santai Seni @TAR (Jalan Tuanku Abdul Rahman) khusus untuk kelompok 'busker'.
Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez berkata, program itu juga sebahagian usaha persatuan untuk membantu golongan 'busker' yang seolah-olah terpinggir dalam industri seni.
"Ada segelintir 'busker' yang terbabit dalam program Santai Seni ini pernah buat album sebelum ini.
FREDDIE (tiga dari kiri) bersama Ito (empat dari kanan) bersama sebahagian pemuzik jalanan pada majlis pelancaran album Bintang Jalanan di Jalan TAR, Kuala Lumpur baru-baru ini.
FREDDIE (tiga dari kiri) bersama Ito (empat dari kanan) bersama sebahagian pemuzik jalanan pada majlis pelancaran album Bintang Jalanan di Jalan TAR, Kuala Lumpur baru-baru ini.
"Persatuan Karyawan juga unik kerana pihak kami menerima semua yang terbabit dalam bidang seni seperti penyanyi, pelakon dan pemuzik jalanan asalkan mereka berkarya, kita alu-alukan kehadiran mereka sebagai ahli.
"Setakat ini, seramai 800 'busker' yang sudah berdaftar sebagai ahli Karyawan. Pada masa sama, pihak Karyawan juga turut membantu 'busker' yang berdepan dengan masalah kewangan termasuk isu salah faham mengenai tempat dan sebagainya sebelum ini," katanya kepada Rap Xtra.
Freddie ditemui pada majlis pelancaran album Bintang Jalanan - Kolaborasi album pemuzik jalanan yang berlangsung baru-baru ini.
Hadir sama, penyanyi kumpulan Blues Gang, Ito Mohd.
Mengulas program Santai Seni lagi, kata Freddie, program itu sudah dianjurkan sejak beberapa tahun lalu.
"Seramai 20 'busker' yang terbabit dalam program ini juga ahli Karyawan dan membuat persembahan membabitkan tiga hingga empat lokasi di kawasan DBKL.
"Ia satu peluang yang baik untuk 'busker' kerana kawasan jalan juga ditutup khusus untuk acara berkenaan.
"Saya berharap program santai seni ini akan menjadi lebih popular pada masa akan datang termasuk mendapat kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan lain seperti di Selangor," katanya.
Acara Santai Seni ini berlangsung di Jalan TAR pada setiap minggu ke dua dan ke empat, Ahad.
Selain persembahan 'busker', pelbagai aktiviti dianjurkan seperti maskot, jualan produk selebriti untuk menarik orang ramai.
|
|
|
|
|
|
|
| |
|