View: 1842|Reply: 0
|
Isteri Fredo berhasrat jadi pemandu e-hailing, bantu suami hilang upaya
[Copy link]
|
|
Kuala Lumpur: Isteri kepada penyanyi veteran Fredo iaitu Suzlynna Mustapha,60, berhasrat untuk menjadi pemandu e-hailing selepas suaminya hilang punca pendapatan kerana menghidap Aortic Aneurysm iaitu saluran jantung utama membonjol sejak seminggu lalu.
Suzlynna berkata, buat masa ini kerjaya itu yang mampu dilakukan memandangkan usianya yang bukan lagi muda.
"Kalau saya nak bekerja dengan orang mungkin dah tak sesuai dengan umur yang sebegini. Jadi pilihan yang saya nampak sekarang adalah jadi pemandu e-hailing.
"Suami dah hilang upaya untuk menyanyi menyebabkan kami kehilangan sumber pendapatan.
"Kalau saya tak bekerja macam mana kami nak meneruskan kehidupan. Saya ada juga menjual tart nenas tetapi tidak membawa pulangan," katanya.
Menurut Suzlynna, kerjaya yang ingin diceburi itu hanya sekadar perancangan kerana buat masa ini dia perlu memberi tumpuan kepada kesihatan suaminya.
"Belum boleh mula sekarang kerana ada beberapa urusan yang perlu diselesaikan untuk jadi pemandu e-hailing.
"Lagipun saya kena fikirkan suami yang uzur, doktor tak bagi tinggalkan dia bersendirian buat masa ini.
"Jadi saya kena tunggu hingga dia kuat baru boleh mulakan pekerjaan itu. Saya lihat kerja ini tidak memerlukan komitmen yang tinggi dan agak fleksibel dari segi masa, jadi saya boleh keluar cari pelanggan dan pulang sebelum malam," katanya.
Ditanya mengenai kenderaan yang akan digunakan untuk memandu e-hailing, Suzlynna berkata, dia memiliki dua kenderaan yang dipinjamkan saudara maranya tetapi kedua-duanya sudah berusia lebih 10 tahun.
"Jadi saya akan merujuk kepada pihak syarikat supaya kenderaan itu layak digunakan untuk membawa penumpang," katanya.
|
|
|
|
|
|
|
| |
|