|
Kuala Lumpur: Pemain dram, Fendy Adlun memberitahu dia bertindak membeli semula lagu berjudul Azalea daripada bekas kumpulannya Caliph Buskers, sekali gus dijadikan single pertamanya.
Fendy, 33, berkata, lagu dan lirik Azalea ciptaan dia sepenuhnya dan sudah dihasilkan sejak sembilan tahun lalu apabila anaknya, Nur Azalea Zafirah lahir.
"Proses nak 'releasekan' lagu ini memang banyak halangan. Asalnya nak diberikan pada Caliph Buskers dan proses rakaman dibuat pada tahun 2018. Kami mencadangkan lagu ini kepada label rakaman dimana saya akan menyanyikannya.
"Tapi mereka tak nak kerana lebih suka Azmi menyanyi. Jadi lagu ini tersimpan dan terpinggir begitu saja. Pada 2021 saya rasa teringin nak keluarkan lagu ini.
"Saya beli semula dari Caliph Buskers, bayar segala kos dan buat semula dengan susunan baru. Ingatkan dah boleh keluar tahun itu, tapi masih tertunda sampailah sekarang baru jadi kenyataan," katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, sekarang adalah masa yang sesuai untuk mengeluarkan lagu yang diinspirasikan dari anak tunggal hasil perkahwinan dengan bekas isteri, Nadira Rubyna ini.
"Kalau saya 'down' saya akan dengar lagu ini seorang diri. Nak pula sekarang bila saya bapa tunggal jaga anak seorang diri, kadang-kadang ada masa kita 'down' juga.
"Kita pun bukannya selalu gembira. Bila anak buat perangai kita pun pasti tertekan. Bila tenang sikit, saya duduk seorang diri akan dengar lagu ini sebagai penguat semangat untuk terus berjuang membesarkan Azalea.
"Alhamdulillah lagu ini diterima baik pendengar. Banyak komen di YouTube puji kata sedap. Banyak yang support. Harapan saya agar ia buka rezeki baru untuk saya dan anak," katanya.
Nur Azalea Zafirah yang juga OKU penglihatan dan autistik kini belajar di sebuah sekolah khas di ibu kota.
|
|