|
Kuala Lumpur: Penyanyi, Datuk Fazley Yaakob menyarankan agar netizen menubuhkan 'polis siber' bagi memerangi pembuli siber yang semakin menjadi-jadi.
Cadangan itu dibuat Fazley selepas melihat pelbagai impak negatif sehingga meragut nyawa akibat daripada aktiviti buli siber ini.
"Buli siber ini nyata. Dah sampai masa ada pasukan netizen yang menjadi 'polis siber' yang melindungi orang-orang yang kena buli secara siber.
"Kerja anda, bantu ketengahkan pembuli-pembuli ini supaya mangsa terbela dan ada pihak anti-buli yang buat kerja 'mengutip pahala' daripada membiarkan pembuli siber mengutip dosa percuma.
"Tak semua orang tahu apa nak buat bila dibuli secara online. Tahu-tahu, dah terlambat, bunuh diri, kemurungan, bergaduh satu keluarga, pukul orang lain dan macam-macam lagi kesannya," katanya.
Menurut Fazley, impak buli siber terlalu besar sehingga mampu menular sehingga menjadi kes yang lebih serius seperti peras ugut dan sebagainya.
"Buli siber ini juga boleh jadi kes lebih besar apabila dimalukan secara siber, peras ugut duit, peras ugut maruah, peras ugut jawatan dan macam-macam lagi.
"Kita semua kena lakukan sesuatu. Kalau nak tunggu rang undang-undang, ia akan mengambil masa yang sangat lama, tapi, masanya akan tiba. Sementara nak tunggu, lawan buli siber dengan 'polis versi netizen' pula!" katanya.
Tambah Fazley, hukuman berat patut dikenakan kepada mereka yang melakukan buli siber.
"Satu hari nanti, buli siber pun patut dihukum gantung jika menyebabkan kematian! RM100 denda? Kita boleh buat lebih baik daripada inilah!
"Kita semua ada anak, isteri, suami, dan keluarga besar serta kecil. Takkan sampai dah kena kepada keluarga sendiri, baru kita nak tergadah? Nauzubillah!" katanya.
|
|