|
PETALING JAYA – Penyanyi Shila Amzah memberi amaran agar tidak sesekali berkahwin dengan individu yang mempunyai sejarah sebagai pembuli.
Menurut Shila atau nama penuhnya Nushahila Amir Amzah, 34, sikap kurang belas kasihan yang ada pada pembuli dikhuatiri akan memberi impak terhadap pasangan pada masa akan datang.
“Jangan sekali-kali bercinta atau berkahwin dengan seseorang yang mempunyai sejarah menjadi pembuli.
“Kekurangan empati dan kekejaman mereka akhirnya akan ‘menggigit’ anda pada masa hadapan,” katanya dalam aplikasi X baru-baru ini.
Dalam masa sama, pelantun lagu Memori Tercipta itu menyeru agar gejala buli dihentikan kerana memberi impak trauma terhadap mangsa.
“Hentikan budaya buli. Pembuli selalunya akan sentiasa mengalami kesukaran untuk mengingati peristiwa khusus tingkah laku buli mereka terhadap mangsa.
“Sementara, mangsa yang dibuli pula sering mempunyai ingatan yang jelas dan berkekalan tentang kejadian tersebut,” ujarnya.
Shila bagaimanapun tidak menyatakan perkongsiannya itu merujuk kepada kes buli siber atau secara fizikal.
Mengimbau semula, sekitar 2022 Shila pernah mengalami masalah kebimbangan yang melampau atau ‘anxiety disorder’ yang berpunca daripada komen negatif netizen terhadapnya.
Pada 2017, Shila bertindak menutup akaun Twitternya kerana tidak tahan menjadi mangsa buli siber. |
|