KUALA LUMPUR: Panas Express, model perniagaan kedai serbaneka tanpa pekerja yang dikendalikan oleh kecerdasan buatan (AI) kini beroperasi dengan 50 kiosk di sekitar Lembah Klang dan Kampar, Perak.
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengalu-alukan inisiatif dan kerjasama antara agensi kerajaan dan pemain industri, dalam memperkenalkan penggunaan AI bagi bidang peruncitan
"Meskipun baru beroperasi pada tahun 2023, Panas Express telah berkembang sebagai sebuah jenama baharu di pasaran dan ini pastinya satu pencapaian yang boleh dibanggakan.
"Konsep layan diri ini mungkin dalam satu sudut masih baru namun sebenarnya ia telah pun didedahkan dengan konsep mesin layan diri sejak sekian lama dan dapat dilihat revolusi model perniagaan seperti ini akan memudahkan semua pihak termasuk pelanggan dan usahawan," katanya semasa Majlis Pelancaran Panas Express di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Amran Abd Kadir.
Reezal Merican berkata, kerjasama strategik antara Koperasi Profesional Putrajaya Bhd (KOPROJAYA) dengan Smart Meal Group Holding Sdn Bhd (Smart Meal) ini membuktikan bahawa terdapat kapasiti dan kebolehan daripada agensi kerajaan untuk membawa perkembangan teknologi di negara ini.
"Keupayaan ini disokong oleh agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang menjadi tulang belakang terhadap perkembangan koperasi di Malaysia," katanya.
Beliau berkata, ini juga merupakan sebahagian daripada usaha MATRADE untuk memperkukuhkan lagi agenda mengembangkan aplikasi teknologi dalam urusan perdagangan khususnya di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
"Pembukaan Panas Express di MITEC ini telah memberikan satu lagi pendekatan yang baik dalam memberikan kemudahan kepada pengunjung, pelanggan serta pekerja yang memerlukan perkhidmatan kedai serbaneka seperti ini.
"Dengan reputasi MITEC yang dikenali di seluruh dunia, keberadaan Panas Express ini membolehkan keperluan pelanggan untuk mendapatkan perkhidmatan kedai serbaneka dengan mudah dan pantas," katanya.
Sementara itu, Pengerusi KOPROJAYA, Saiful Azhar Shaharun, berkata sebagai sebuah gerakan koperasi pegawai dalam perkhidmatan awam, KOPROJAYA sentiasa melihat peluang yang boleh memberi manfaat kepada komuniti dan juga ahli.
"Melalui kerjasama strategik bersama Smart Meal di bawah jenama Panas Express ini, KOPROJAYA berpeluang menceburi bidang peruncitan dengan satu model perniagaan yang berpotensi memberi pulangan terbaik kepada ahli.
"KOPROJAYA menyasarkan pembukaan 20 buah premis Panas Express menjelang akhir 2025 di pelbagai lokasi termasuklah di premis kerajaan serta lokasi strategik yang memerlukan perkhidmatan kedai serbaneka 24 jam sehari," katanya.
Beliau berkata, konsep kedai serbaneka tanpa pekerja ini merupakan inovasi teknologi yang diperkenalkan oleh Smart Meal, sebuah syarikat tempatan yang memberikan pengalaman membeli-belah kedai serbaneka tanpa pekerja dan tanpa tunai sepenuhnya, serta beroperasi 24 jam sehari.
Selain dilengkapi dengan pemantauan dan ciri-ciri keselamatan berteraskan AI, model perniagaan Panas Express ini juga memberi kemudahan dengan menawarkan lebih 3,000 unit simpanan stok (SKU) kepada pelanggan.