Rosey (lima kanan) memperkatakan sesuatu semasa turun padang bersama beberapa wakil agensi kerajaan berkaitan ke tapak cadangan projek pembinaan jeti nelayan di Kampung Kuala Sibuti.
MIRI: Projek jeti nelayan Kampung Kuala Sibuti yang bernilai RM18 juta, apabila dibangunkan kelak bakal menjadi pemangkin sosioekonomi penduduk setempat khususnya di Bekenu dan Sibuti.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Datuk Rosey Yunus berkata, projek itu telah diluluskan Kerajaan Sarawak dan dijangka dibina dalam masa terdekat.
Beliau yang mengadakan lawatan ke tapak cadangan bagi projek itu memberitahu, apabila sudah siap dibina jeti itu akan menjadi kemudahan untuk para nelayan melabuhkan bot dan memunggah hasil tangkapan mereka.
"Selain itu, jeti tersebut juga direka dengan ruang pejalan kaki sesuai untuk pengunjung melihat keindahan alam semula jadi di tebing sungai dan pantai serta melihat para nelayan pulang dari laut membawa hasil dan sebagainya," katanya.
Menurut beliau lagi, projek itu belum mempunyai nama yang sesuai namun berharap semua pihak memberi kerjasama baik bagi melancarkan pembinaannya.
"Kita mahu jeti nelayan ini benar-benar menjadi satu kenyataan demi pembangunan nelayan di sini dan telah menjemput pelbagai agensi kerajaan berkaitan ke tapak projek.
"Jangan hanya kerana nama projek yang tidak disukai terus dibantah, yang penting beri kerjasama supaya projek itu berjalan dengan lancar dan siap sepenuhnya," katanya.
Sementara itu, pada lawatan kali keduanya ke tapak projek itu, Rosey turut disertai pegawai dan wakil Pejabat Residen Bahagian Miri (Seksyen Perancangan Strategik dan Pelaksanaan Projek), Majlis Daerah Subis (MDS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Tanah dan Survei (JTS), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS), Sarawak Forestry Corporation (SFC), Jabatan Laut Sarawak (JLS), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Ketua Kampung Abdullah Yaman.
Abdullah ketika ditemui meluahkan rasa amat bersyukur dengan projek jeti yang bakal dilaksanakan dalam sedikit masa lagi dan berterima kasih kepada Premier Sarawak serta Kerajaan Sarawak yang melihat keperluan rakyat kawasan luar bandar.
"Kampung kami mempunyai lebih 500 penduduk dan semuanya nelayan dengan sumber pendapatan utama ialah hasil laut yang diperolehi dijual ke pekan Bekenu dan Sepupok, Niah.
"Kami amat gembira kerana dengan adanya jeti itu kelak, dapat memberi banyak kemudahan kepada para nelayan yang sekali gus dapat merangsang ekonomi penduduk di kawasan ini.
"Selain itu, reka bentuk jeti ini juga mampu menarik pengunjung datang, kami mahu menjadikan kampung ini sebagai satu destinasi pelancongan baharu yang mampu memberi manfaat kepada semua penduduk," jelanya.
https://www.utusanborneo.com.my/2024/09/04/jeti-nelayan-bernilai-rm18-juta-bakal-dibina-di-kampung-kuala-sibuti
|