Pembinaan kompleks tersebut dijadualkan bermula pada 5 Ogos 2020 dan dijangka siap pada 4 Jun 2022. - Gambar Facebook Christopher Gira Sambang
SELANGGAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Christopher Gira Sambang mendesak Kementerian Belia dan Sukan Sarawak (KBS) mempercepatkan pembinaan Kompleks Sukan Mini Selangau yang sekian lama tertangguh.
Dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook Gira berkata, projek tersebut yang pada asalnya dianggarkan menelan belanja RM7.9 juta, telah diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM8 juta oleh Kerajaan Sarawak.
Katanya, pembinaan kompleks tersebut dijadualkan bermula pada 5 Ogos 2020 dan dijangka siap pada 4 Jun 2022.
Namun akibat pandemik COVID-19 pada tahun 2021 kontraktor yang dilantik telah menarik diri dan menyebabkan projek tersebut tergendala hingga kini.
"Kompleks Sukan Mini Selangau adalah satu-satunya kemudahan sukan di daerah Selangau yang amat dinantikan oleh penduduk tempatan.
"Oleh itu, saya menyeru KBS agar mempercepatkan pembinaan kemudahan ini," ujarnya.
Beliau juga menyatakan kekecewaan melihat projek yang sepatutnya memberi manfaat kepada penduduk kini hanya terbengkalai.
"Adalah tidak indah dipandang mata melihat papan tanda projek tetapi projek tidak dilaksanakan," tambahnya.
Kompleks Sukan Mini Selangau ini dirancang untuk mempunyai pelbagai kemudahan termasuk padang bola sepak, trek larian, kemudahan untuk acara lompat tinggi dan lompat jauh, dewan, tempat letak kenderaan serta pelbagai keperluan sukan yang lain.
Justeru, Gira berharap agar projek ini diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa bagi memastikan pembangunan sukan di Selangau tidak ketinggalan dan terus berkembang.
Katanya, projek ini perlu disegerakan bagi memenuhi keperluan penduduk tempatan yang memerlukan kemudahan sukan yang lengkap dan berkualiti.
|