Ismawi (berbaju putih) diiring polis selesai dijatuhkan hukum di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
KUCHING: Seorang lelaki berusia 51 tahun dijatuhi hukuman penjara seumur hidup di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mengedar 25.9 kilogram methamphetamine pada 2021.
Hakim Datuk Faridz Gohim Abdullah membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Ismawi Saruji, selepas meneliti pengakuan salah, rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan serta mengambil kira kepentingan awam.
Bagaimanapun, tiada sebatan dikenakan terhadap tertuduh berikutan faktor umur yang melebihi 50 tahun.
Mengikut pertuduhan, Ismawi didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 18 September 2021, jam lebih kurang 5.45 pagi berhampiran Kampung Sejijak, Jalan Tebedu-Serian.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta sama.
Fakta kes mendedahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan pemerhatian (OP) di kawasan Pasar Bandar Mutiara, Tebedu, Serian pada hari tersebut dan menahan Ismawi yang memandu sebuah kenderaan jenis pelbagai guna (MPV) untuk tujuan pemeriksaan.
Hasil pemeriksaan kemudian membawa kepada penemuan empat beg di dalam kenderaan tersebut yang masing-masing di dalamnya mengandungi beberapa peket-peket lutsinar disyaki dadah jenis syabu.
Dia seterusnya ditahan bersama barang kes dan dibawa ke balai polis Tebedu untuk siasatan lanjut.
Barangan yang dirampas telah ditimbang di balai polis Tebedu dan berat kasar setiap beg ialah 9,000 gram.
Semasa dalam siasatan, barang kes dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisa dan laporan kimia bertarikh 26 Oktober 2021 mengesahkan ia mengandungi 25,991.3 gram methamphetamine.
Selain itu, siasatan lanjut polis mendapati tertuduh mengaku bahawa dia sedang mengedar dadah berkenaan pada hari serbuan, selain menyatakan kenderaan MPV itu disewa dan digunakan olehnya pada hari kejadian untuk tujuan pengedaran dadah.
Untuk rekod, methamphetamine disenaraikan dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Yong Suk Hui sementara Ismawi diwakili peguam lantikan mahkamah, Candida Entri dan Abang Mohd Tosen Abang Sharbini.
|