Wee (duduk tengah) bersama Dr. Alina (enam kiri) dan Ling (tujuh kanan) merakamkan kenangan bersama pada Seminar dan Pemeriksaan Kesihatan Bee Carring di Pusat Rekreasi Persatuan Komuniti Kenyalang (KPCA), hari ini.
KUCHING: Rakyat digalakkan untuk menjalani ujian saringan kesihatan sekurang-kurangnya sekali setahun bermula pada usia 30-an.
Demikian saranan yang disyorkan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng sambil menambah bahawa kesihatan merupakan pelaburan penting sebelum meniti usia tua.
"Jadi, kita jangan berkira dengan duit. Ia (ujian saringan kesihatan) merupakan satu komitmen yang sangat minimum untuk anda lakukan bagi diri sendiri.
"Melihat secara keseluruhan, apabila kita semakin tua, kesihatan menjadi satu perkara yang amat penting dan perlu kita buat pelaburan baginya tidak kira miskin atau kaya.
"Menerusi pemeriksaan kesihatan ini, anda akan berupaya mengesan penyakit pada peringkat lebih awal," katanya ketika berucap mewakili Timbalan Premier Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian pagi tadi.
Beliau turut merasmikan Seminar dan Pemeriksaan Kesihatan Bee Carring di Pusat Rekreasi Persatuan Komuniti Kenyalang (KPCA), dan melakukan lawatan ke setiap tapak ruangan pempamer di situ.
Tambahnya lagi, kini terdapat banyak pakej bagi saringan kesihatan yang ditawarkan pada harga yang berpatutan.
Kata Wee ditambah pula dengan subsidi kerajaan persekutuan melalui Skim Peduli Sihat berjumlah RM500 setahun yang disediakan perlu digunakan sepenuhnya.
"Jangan tunggu sehingga anda sakit baru anda hendak pergi berjumpa doktor. Badan kita ini seperti sebuah kereta, anda mahu kereta anda tahan lebih lama, anda perlukan penyelenggaraan," jelasnya kemudian.
Sementara itu, beliau memuji usaha yang dijalankan Bee Carring yang hanya mengenakan caj minimum untuk membuat pemeriksaan kesihatan dan ditawarkan seminar untuk pengunjung yang hadir.
"Jadi kita kena sedar satu perkara, menjelang tahun 2028, Sarawak adalah negeri pertama di Malaysia, yang mencapai status bandar menua.
"Kita mengawali dua tahun daripada negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.
"Maka, diharap lebih ramai orang akan mengambil bahagian, menyumbang dengan cara mereka sendiri untuk menjadikan Sarawak tempat yang boleh didiami, mampan, menggembirakan dan rakyatnya sihat," katanya.
Hadir sama adalah Ketua Klinikal Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Sarawak, Dr. Alina Ali yang turut mewakili Pengarah LPPKN Sarawak dan Pengerusi Penganjur Ling Ngar Yieng.
|