KUCHING: Seorang wanita, 32, dari Sebauh, Bintulu korban terbaharu wabak rabies di Sarawak, menjadikan kumulatif kes kematian di negeri ini kini sebanyak 74.
Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Veronica Lugah berkata dengan penambahan kes baharu itu juga, kumulatif kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak semenjak wabak diisytiharkan pada Julai 2017 sehingga kini, meningkat kepada 81 kes dengan 74 daripadanya menyebabkan kematian.
Menurutnya lagi, daripada 81 kes ini, enam kes dilaporkan tahun ini dan kesemuanya disahkan meninggal dunia akibat komplikasi daripada jangkitan rabies.
Bagaimanapun, beliau berkata ia merupakan penurunan berbanding tempoh sama pada tahun lalu (2023), dengan 16 kes rabies dalam kalangan manusia dilaporkan di Sarawak, 14 daripadanya menyebabkan kematian.
"Kes telah disahkan meninggal dunia pada 31 Ogos 2024 di Hospital Bintulu.
"Kes terbaharu ini, merupakan seorang wanita 32 tahun dari Sebauh, Bintulu, mula mengalami demam pada 24 Ogos 2024.
"Pada 27 Ogos 2024, beliau mengalami lemah pada bahagian kedua-dua kaki, hypersalivating, hydrophobia, aerophobia, agresif, halusinasi dan sensitif kepada cahaya.
"Beliau telah mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan dan Trauma, Hospital Bintulu pada 28 Ogos 2024. Sampel klinikal yang diuji telah mengesahkan beliau dijangkiti rabies," katanya dalam satu kenyataan.
Dr Veronica menambah, menurut hasil siasatan, kes mempunyai sejarah mengendalikan tiga bangkai anjing peliharaannya yang mati dalam keadaan mulut berbuih tanpa sebarang alat perlindungan diri pada Julai 2024 di Sebauh, Bintulu, Sarawak.
Katanya lagi, anjing berkenaan tidak diberi vaksin antirabies selain bebas bercampur dengan haiwan liar.
"Kejadian gigitan anjing dan kucing di Sarawak masih tinggi, sejak 2017 hingga Minggu Epid ke-35 tahun 2024 (22 hingga 31 Ogos 2024) terdapat 57,917 kes gigitan anjing, 49,693 kes gigitan/cakaran kucing dan 1,646 gigitan lain-lain haiwan telah dilaporkan," katanya.
Manakala bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Ogos 2024 pula katanya, 12,587 kes gigitan haiwan dilaporkan dan secara purata terdapat 360 kes gigitan haiwan dilaporkan setiap minggu di Sarawak.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai, penyakit rabies masih didapati di Sarawak dan kadar kematian penyakit rabies amat tinggi namun ia boleh dicegah sekiranya langkah-langkah pencegahan diambil sejurus selepas gigitan atau cakaran oleh haiwan.
Beliau berkata antara langkah penting harus diambil ialah cuci segera bahagian tubuh yang digigit atau dicakar haiwan atau mukosa yang terkena air liur haiwan (seperti mempunyai luka pada kulit dan dijilat oleh haiwan), di bawah air mengalir dan sabun selama sekurang-kurangnya 15 minit dan mendapatkan rawatan di Post-Bite Clinic.
"Segera dapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan selepas digigit atau dicakar, termasuk anjing dan kucing peliharaan sendiri. Pastikan vaksin antirabies lengkap diterima mengikut janji temu yang diberikan oleh pengamal perubatan.
"Pastikan juga semua anjing dan kucing peliharaan diberi vaksinasi antirabies yang lengkap setiap tahun serta jangan membiarkan haiwan-haiwan peliharaan ini berkeliaran tanpa dipantau," ujarnya.
|