Iskandar (dua kiri) menyerahkan cek sumbangan untuk tambahan hadiah 'Raja Sungai' kepada Jabang sambil disaksi yang lain. - Gambar Facebook Iskandar Turkee
BINTULU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee menyalurkan sumbangan sebanyak RM4,000 untuk menambah jumlah hadiah RM10,000 sedia ada untuk juara Raja Sungai perlumbaan perahu bidar Regata Pesta Tatau 2024.
Sumbangan tersebut diserahkan kepada Pegawai Daerah Tatau merangkap pengerusi jawatankuasa pengelola Pesta Tatau 2024 Jabang Juntan.
Iskandar yang hadir menyaksikan acara regata tersebut berkata, sumbangan itu adalah komitmen untuk menyokong aktiviti sukan tradisi di Tatau serta berharap acara itu akan dapat diadakan pada setiap tahun.
Satu daripada pasukan pelumba perahu yang bertanding. - Gambar Facebook Iskandar Turkee
Katanya, acara regata bukan sahaja memelihara warisan budaya tetapi juga memperkukuh hubungan antara kaum di daerah Tatau.
"Acara yang berlangsung menjadi tumpuan masyarakat setempat dan pengunjung dari kawasan sekitar," katanya dalam hantaran di Facebooknya.
Beliau berkata, pertandingan perlumbaan perahu panjang memperlihatkan penyertaan meriah dari beberapa pasukan merangkumi pelbagai latar belakang etnik menjadikan acara ini platform penting bagi memupuk semangat berpasukan dan perpaduan komuniti.
Iskandar menyaksikan acara perlumbaan perahu. - Gambar Facebook Iskandar Turkee
Jelasnya, dengan sokongan penuh dari masyarakat, Regata Pesta Tatau 2024 bukan sahaja menjadi acara hiburan penduduk malah sebuah wadah yang menyatukan komuniti.
"Perhatian kini tertumpu pada kemuncak hari ini bagi menobat pasukan terbaik yang akan merebut gelaran 'Raja Sungai'," katanya.
|