Remaja lelaki tempatan ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Jalan Awang Ramli Amit Sibu, malam tadi.
SIBU: Dua remaja lelaki masing-masing berumur 16 dan 20 tahun ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Jalan Awang Ramli Amit Sibu, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, kedua-kedua mereka disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang motosikal secara melulu dan melakukan aksi berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.
Menurutnya, operasi yang bermula jam 9 malam tadi hingga 2.30 pagi tadi dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu.
"Dalam operasi itu, tiga lelaki tempatan telah diperiksa, dua lelaki ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, pelbagai kesalahan telah dikenal pasti dan tindakan saman telah diambil.
"Sebanyak tiga saman atas kesalahan tiada nombor pendaftaran, ubah suai ekzos dan tidak pakai topi keledar telah dikenakan kepada kedua-dua penunggang motosikal tersebut," ujarnya.
Zulkipli berkata, pihak polis menegaskan kepada orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya demi keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.
"Ibu bapa juga disarankan supaya sentiasa memantau dan peka dengan aktiviti anak masing-masing agar tidak terlibat dengan kegiatan yang menyalahi undang-undang," tegasnya.
|