Abang Johari merakam kenangan bersama tetamu kehormat lain pada APPEC 2024 di Singapura hari ini. - Gambar UKAS
KUCHING: Sarawak sedang merancang untuk mempercepatkan peralihan kepada operasi pelabuhan yang lebih hijau dan pintar di seluruh kawasan Asia-Pasifik, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Kita (Kerajaan Sarawak) sekarang berada di barisan hadapan dalam membangunkan pelabuhan hijau.
“Ini termasuk menghasilkan bahan bakar hijau, mewujudkan hab pengisian bahan bakar hijau dan melaksanakan koridor utiliti bersama untuk kemudahan pelabuhan yang canggih,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama yang bertajuk 'Memperkasakan Penyelesaian Perubahan Iklim Dalam Dunia Yang Berbeza' pada Persidangan Petroleum Asia Pasifik (APPEC) 2024 di Singapura hari ini.
Bagi menyokong usaha tenaga bersih Sarawak, Abang Johari berkata, kerajaan negeri sedang membina kemudahan terminal gas serta merancang Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching yang baharu.
“Ia bertujuan memenuhi keperluan pengangkutan moden dan kelestarian dengan keutamaan pada infrastruktur yang tahan lama dan mampan,” katanya.
Malah ujarnya, Sarawak juga melabur dalam sektor maju seperti avionik dan komponen pesawat serta kursus aeroangkasa terkini selaras dengan ekonomi negeri yang berasaskan inovasi.
“Inisiatif ini seiring dengan matlamat kita yang lebih luas untuk mewujudkan ekonomi yang mampan dan didorong oleh inovasi, dengan melengkapkan golongan muda kita dengan kemahiran untuk berjaya dalam industri rantaian nilai teknologi tinggi serta menyokong transformasi ekonomi,” katanya.
Abang Johari menambah, Kerajaan Sarawak juga menerajui pembangunan ekonomi hidrogen hijau sebagai alternatif bersih kepada bahan api fosil.
“Selain hidrogen, kerajaan negeri turut mempercepatkan pengeluaran komersial Bahan Api Penerbangan Lestari (SAF) daripada mikroalga sekali gus mengukuhkan peranan dalam menyediakan penyelesaian tenaga mampan dalam pelbagai sektor,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Abang Johari memberitahu bahawa Kerajaan Sarawak merancang membina jalan raya bertingkat di atas struktur tanah gambut.
Menurutnya, pembinaan jalan di atas tanah gambut di Sarawak menimbulkan isu mendapan serta risiko pelepasan gas rumah hijau sama seperti di Singapura. “Jadi, bagi mengatasi perkara ini kita merancang untuk membina jalan raya bertingkat di atas struktur tanah gambut.
“Kaedah ini memelihara keupayaan tanah gambut untuk menyerap karbon, menyokong usaha penangkapan karbon serta meningkatkan kecekapan pengangkutan,” jelasnya.
Inisiatif-inisiatif itu katanya, mencerminkan komitmen Sarawak untuk mengimbangi pembangunan dengan pemuliharaan alam sekitar, memastikannya menjadi peneraju dalam pertumbuhan mampan.
Hadir sama pada persidangan itu ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.
|