Pang (dua kiri) sambil diiringi Dr Melvin (kiri) diberi penerangan mengenai talian yang boleh dihubungi bagi mencegah kes berkaitan.
BINTULU: Masyarakat perlu diberi kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesihatan mental melalui sokongan semua pihak bagi mencegah tingkah laku yang boleh memudaratkan diri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang berkata hidup ini tidak ternilai, bukan sahaja kerana ia diri kita tetapi menghubungkan kepada dunia orang lain.
Katanya, kehidupan setiap orang adalah penceritaan dalam buku yang belum selesai dan kita mempunyai tanggungjawab untuk mendengar dan memahami kisah-kisah ini.
"Ayat ini sering bergema di fikiran saya. Kewujudan setiap orang berkait rapat dengan orang lain, senyuman dan sapaan mungkin merupakan sokongan paling tinggi untuk orang lain," katanya pada Program Hari Pencegahan Bunuh Diri Peringkat Bahagian Bintulu 2024 bertemakan 'Ubah Tanggapan, Bina Harapan' di sini pada Ahad.
Program anjuran Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu itu turut dihadiri Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr Melvin Chung serta pegawai-pegawai kesihatannya.
Justeru, beliau berharap program itu dapat menyedarkan lebih ramai orang agar menghargai kehidupan kerana hidup ini singkat tetapi amat berharga untuk kita mempunyai tanggungjawab hidup setiap hari dengan penuh cinta dan harapan.
"Penting untuk memupuk kesedaran tentang kesihatan mental dan kepentingan sokongan komuniti antara satu sama lain supaya tiada yang berasa hidup keseorangan," jelasnya.
Pada masa sama, beliau menghargai usaha penganjur bukan sahaja memberi kesedaran dan menyediakan kemudahan saringan kesihatan tetapi juga menawarkan pendidikan kesihatan yang berharga kepada orang ramai dengan menyasarkan golongan pelajar, kakitangan kerajaan dan swasta, agensi dan masyarakat seluruhnya.
Antara aktiviti diadakan ialah forum mengenai kesedaran dan pencegahan tingkah laku bunuh diri, gerai kesihatan dan agensi, pertandingan tarian kreatif, permainan untuk pelawat, aktiviti mewarna untuk kanak-kanak, pameran kesihatan mental, 'Tembok Harapan' dan sebagainya.
|