Mereka bakal menikmati ganjaran sama seperti diberikan kepada pemenang pingat SUKMA XXI Sarawak 2024
Fatimah (empat kiri) mengetuai Jawatankuasa Induk Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) XXI Sarawak 2024 mengadakan kunjungan hormat terhadap Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah di Astana Negeri, Kuching hari ini. - Gambar Penerangan
KUCHING: Pemenang pingat bagi Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) bakal menikmati ganjaran sama seperti yang diberikan kepada pemenang pingat SUKMA XXI Sarawak 2024, kata Dato Sri Fatimah Abdullah.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) itu berkata, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebelum ini telah mengumumkan pemberian insentif sebanyak RM15,000 kepada pemenang pingat emas, selain insentif kepada pemenang perak dan gangsa.
“Insentif yang sama juga akan diterima oleh altet Para SUKMA dan kami sangat berterima kasih kepada Yang Amat Berhormat Premier kerana sentiasa berusaha memberi ganjaran sama seperti yang dinikmati pemenang pingat pada temasya SUKMA,” katanya.
Fatimah yang juga pengerusi Jawatankuasa Induk Para SUKMA XXI Sarawak 2024 berkata demikian semasa ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri di sini, hari ini.
Pada 16 Ogos yang lalu, Abang Johari pada sidang media selepas majlis penyampaian pingat kepada pemenang acara taekwondo di Stadium Perpaduan di sini, mengumumkan pemberian insentif sebanyak RM15,000 kepada setiap pingat emas yang berjaya dimenangi atlet Sarawak pada SUKMA XXI Sarawak 2024.
Beliau juga menjanjikan insentif RM5,000 bagi pingat perak dan RM3,000 untuk pingat gangsa.
Dalam pada itu, semasa kunjungan hormat, Tun Wan Junaidi dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi turut menerima jemputan untuk menghadiri Majlis Perasmian Para SUKMA XXI Sarawak 2024 yang akan berlangsung di Stadium Perpaduan di sini pada 22 September ini.
Temasya Para SUKMA akan diadakan di Sarawak bermula 22 hingga 28 September dan mempertandingkan 328 pingat untuk 10 acara sukan di 10 venue terpilih di sekitar bandar raya Kuching.
Hadir sama semasa kunjungan ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Datuk Mohammad Razi Sitam, Setiausaha Tetap KPWK Sarawak Datu Felicia Tan Ya Hua, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) Semawi Mohamad dan Timbalan Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPANS) Awang Ikman Awang Sepian.
|