KUCHING: Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak akan menganjurkan Latihan Perhubungan Awam dan Perhubungan susulan kejayaan penganjuran Latihan Juruacara (Emcee) pada Ogos lalu.
AZAM Sarawak menerusi kenyataannya hari ini berkata, latihan yang dijadual pada 23 dan 24 September ini direka khas bagi melengkapkan para peserta dengan kemahiran moden mengendali serta menangani cabaran-cabaran media dan komunikasi hari ini.
"Latihan ini akan menyediakan para peserta dengan 'peralatan' bagi mengurus perhubungan media, mengendalikan krisis dan melibatkan pihak berkepentingan secara berkesan dengan penuh yakin," katanya.
Kenyataan itu menambah, memandangkan permintaan meningkat untuk profesional yang boleh mengurus persepsi awam dan perhubungan media dengan mahir, AZAM Sarawak membuka latihan ini kepada kakitangan, organisasi luar dan orang ramai, menawarkan peluang unik bagi mendapatkan pandangan berharga dan strategi praktikal.
"Program ini tidak hanya memperkukuhkan kebolehan komunikasi kakitangan kita tetapi juga menawarkan perspektif yang segar untuk menyelesaikan cabaran-cabaran PR.
"Ini memastikan kita kekal mengikut tuntutan serta trend semasa, lebih-lebih lagi dalam menguruskan krisis dihadapi NGO (pertubuhan bukan kerajaan) tanpa disedari.
"Latihan ini mesti dihadiri oleh mereka yang mahu meningkatkan lagi kemahiran perhubungan awam dan memperkukuhkan kebolehan berkomunikasi secara dinamik juga berkesan bersama media, pemegang taruh serta orang awam," katanya.
Mereka yang berminat boleh menghubungi AZAM Sarawak menerusi media sosial AZAM Sarawak untuk mendapatkan keterangan lanjut dan pendaftaran.
|