BINTANGOR: Panggilan berkaitan kebakaran sebuah rumah yang dilaporkan berlaku di Jalan Julau di sini pada jam 12.15 tengah malam Jumaat adalah panggilan palsu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor Nicholas Belulin berkata, tiada sebarang kebakaran berlaku di lokasi seperti dilaporkan berlaku oleh pengadu.
"Bomba berusaha menghubungi pengadu sebanyak tiga kali untuk mendapatkan ketentusahihan maklumat berkaitan dengan kebakaran seperti dilaporkan.
"Namun, pengadu tidak memberi kerjasama dan tidak mengangkat panggilan telefon yang dibuat oleh anggota bomba.
"Berdasarkan situasi itu dan setelah memastikan tiada kebakaran berlaku seperti dilaporkan pengadu, pasukan bomba bertolak balik ke balai," katanya kepada media di sini hari ini.
Berdasarkan situasi itu, Nicholas memberitahu pihaknya menyifatkan panggilan tersebut sebagai panggilan palsu.
"Kita memandang serius perkara ini dan kita akan membuat laporan polis berkaitan kejadian ini.
"Justeru, kita ingin memohon kerjasama masyarakat agar tidak membuat sebarang panggilan palsu kerana ia boleh membawa pelbagai impak negatif," jelasnya.
|