AKON
KOTA KINABALU: Dari Sabah ke Kuala Lumpur dan Kota Singa, syarikat penganjur konsert, JeeHarris Entertainment membawakan penyanyi terkenal antarbangsa, Akon dalam konsert istimewa ‘AKON THE SUPERFAN TOUR’ di dua buah lokasi, iaitu Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 19 November dan Arena @ Expo Hall 7, Singapurapada 20 November depan.
Selepas melengkapkan konsert jelajahnya di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK), Akon akan menggegarkan Malaysia dan Singapura sebagai lokasi persinggahan untuk konsert jelajahnya di Asia dan Asia Tenggara November depan.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif JeeHarris Entertainment, Harris Baba berkata, Akon adalah artis antarabangsa pertama yang dibawakan oleh JeeHarris Entertainment selepas syarikatnya itu membawakan dua kumpulan popular Indonesia, Armada dan Ungu ke Kota Kinabalu tahun lalu.
“Konsert ‘AKON THE SUPERFAN TOUR’ ini menandakan langkah awal kami melebarkan sayap ke pasaran penganjuran konsert di Kuala Lumpur dan Singapura,” katanya.
JeeHarris Entertainment adalah penganjur konsert dan acara yang tidak asing lagi di Sabah.
Dalam tempoh setahun, JeeHarris yang dikemudi oleh penyanyi dan pelakon Harris Baba berjaya mengadakan lima acara dan konsert di Negeri di Bawah Bayu itu.
Antara senarai acara yang berjaya dianjurkan di Sabah termasuklah Konsert Ungu di Bawah Bayu, Konsert Armada Janji Bahagia, Borneo Mega Raya Fest 2024 dan Family Fiesta #MariMakanMinum.
“Alhamdulillah, selepas berjaya menganjurkan lima acara termasuk dua konsert di Sabah dalam setahun, JeeHarris sudah bersedia untuk menjadi salah satu penganjur konsert terkemuka di Kuala Lumpur dan Singapura.
“Kami dengan bangganya mempersembahkan Konsert ‘AKON SUPERFAN TOUR’ sebagai langkah awal selaku penganjur konsert di Kuala Lumpur dan Singapura.
“JeeHarris sudah membuat persiapan sejak Januari tahun ini untuk membawa Akon ke Malaysia dan Singapura. Apa yang istimewanya ialah, JeeHarris satu-satunya promoter yang mendapat hak eksklusif untuk menganjurkan konsert ‘AKON THE SUPERFAN TOUR’ di dua buahnegara!,” katanya.
Akon yang juga penyanyi, komposer, penerbit dan ahli perniagaan mula mencipta nama menerusi album sulungnya ‘Trouble’ yang dilancarkan pada 2004.
Antara single ‘hit’ dari album itu termasuklah ‘Locked Up’ dan ‘Lonely’ yang turut melonjakkan namanya di pentas antarabangsa.
Dikenali dengan lagu-lagu yang menggabungkan genre R&B, hip hop, raggae dan pop, album-album Akon yang seterusnya, ‘Konvicted’ dan ‘Freedom’ turut berjaya mencipta hit demi hit yang menduduki kedudukan teratas pelbagai carta muzik seperti ‘Smack That’, ‘Don’t Matter’ dan ‘Beautiful’ yang mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai ikon muzik global.
Harris berkata, ini adalah konsert berskala besar pertama Akon di Malaysia dan Singapura, sebelum ini, difahamkan kehadirannya di Malaysia hanyalah untuk persembahan korporat.
“Akon baru sahaja melengkapkan konsert jelajahnya di AS dan UK September lalu, selepas ini, beliau akan mengadakan konsert jelajah di Asia, antaranya, India, China, Kazakhstan, Nepal menakala Asia Tenggara pula adalah di Malaysia, Singapura, Thailand dan Filipina.
“Pastinya ramai peminat Akon di Malaysia dan Singapura yang tidak sabar menyaksikan persembahan beliau secara langsung yang menampilkan himpunan lagu popular dan malar segar, kami janjikan konsert besar yang hebat, spektakular dan istimewa,” katanya.
Sementara itu, Harris juga berharap agar penganjuran konsert ini akan membawa JeeHarris ke tahap lebih tinggi dan mengumpul penyokong-penyokong baharu di Kuala Lumpur dan Singapura.
“Bagi penyokong-penyokong sedia ada kami di Sabah, teruskan sokongan anda kepada kami.
“Insya Allah, saya merancang untuk membawakan lebih banyak artis antarabangsa ke Kuala Lumpur dan Singapura. Sudah tentu kami tidak melupakan penyokong kami di Sabah. Apabila tiba masanya, JeeHarris akan membawakan konsert-konsert yang gah kembali ke Sabah,” katanya.
Untuk orang-orang Sabah, selepas kejayaan Borneo Mega Raya Fest 2024 pada bulan Ramadan lalu, JeeHarris Entertainment dengan bangganya akan membawakan satu lagi acara besar yang menggabungkan fesyen, makanan dan kosmetik, yang digelar ‘Fashion, Food & Cosmetics Carnival’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada 13 hingga 15 Disember depan.
Tiket-tiket ke Konsert ‘AKON THE SUPERFAN TOUR’ akan mula dijual pada 20 September 2024 di laman web www.ticket2u.com.my dan www.sistc.com.sgdengan pendaftaran pra-jualan tiket dibuka pada 18 September bermula jam 10 pagi.
|