PENERANGAN: Pengurus ESG Shangri-La Tanjung Aru, Joyce Murang menerangkan aktiviti kepada salah seorang tetamu.
KALIGRAFI: Ng menunjukkan seni kaligrafi Cina kepada tetamu resort semasa bengkel terbabit.
KOTA KINABALU: Shangri-La Tanjung Aru, Kota Kinabalu dengan kerjasama Persatuan Kaligrafi Cina Kota Kinabalu menganjurkan bengkel serta pameran kaligrafi selama tiga hari di sini baru-baru ini.
Shangri-La Hotels and Resorts dalam satu kenyataan berkata, acara ini diadakan bagi membantu memelihara dan mempromosikan amalan tradisional Asia dalam kalangan tetamu resort dan komuniti tempatan, sebagai sebahagian projek seni dan budaya resort terbabit.
“Sepanjang program terbabit, Pakar Seni Kaligrafi Persatuan Teo Seng Chong dan Timbalan Setiausaha Ng Keam Kee mengadakan bengkel kaligrafi Cina untuk tetamu resort selain memberikan bengkel sama kepada kanak-kanak sekolah tempatan minggu lepas.
“Projek ini diakhiri dengan pameran selama satu hari di lobi resort yang memaparkan karya seni peserta bengkel membabitkan lebih 1,000 peserta,” katanya.
Menurutny, resort ini memilih kaligrafi Cina sebagai subjek untuk projek seni dan budaya tahun ini bertujuan menjadi jambatan antara budaya berbeza di Sabah berbilang etnik.
“Bengkel dan pameran ini menawarkan platform untuk pertukaran budaya, memupuk rasa hormat dan persefahaman antara pelbagai komuniti,” katanya.
Menurut Banci Malaysia 2020, masyarakat Cina membentuk kira-kira 9.1 peratus atau 370,000 penduduk Sabah, yang menyumbang kepada pelbagai sektor, termasuk pendidikan, perniagaan dan politik.
Imigrasi Cina ke Sabah menyusuli kembali kepada interaksi perdagangan awal, walaupun sebelum pemerintahan British bermula pada tahun 1881.
Masyarakat Hakka, khususnya, memberikan sumbangan yang besar kepada bidang pertanian, perlombongan dan perdagangan.
Syarikat Borneo Utara British secara aktif menggalakkan imigran Cina untuk mengukuhkan ekonomi tempatan, dari semasa ke semasa, masyarakat Cina berintegrasi dengan penduduk tempatan, memainkan peranan penting dalam pembangunan budaya dan ekonomi Sabah.
|