View: 28875|Reply: 1
|
Dakwaan saya ada kuasa lantik, pecat pengarah dan kawal SRC tidak masuk akal - Najib
[Copy link]
|
|
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menyifatkan dakwaan bahawa beliau mempunyai kuasa melantik dan memecat pengarah dan disebabkan itu, boleh mengawal Lembaga Pengarah SRC International Sdn Bhd, adalah tidak masuk akal.
Menurut bekas perdana menteri itu, kuasa untuk melantik atau memecat mana-mana pengarah biasanya terletak di tangan pemegang saham sesebuah syarikat.
Najib yang membacakan pernyataan saksi dalam kes saman sivil difailkan SRC International terhadapnya, berkata oleh kerana beliau memahami prinsip tadbir urus korporat, ia tidak menjejaskan kewajipan berkanun dan undang-undang pengarah untuk bertindak demi kepentingan terbaik syarikat.
"Seperti yang saya nyatakan, kuasa dalam SRC sebagaimana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di tangan perdana menteri, adalah sesuatu yang agak biasa apabila berurusan dengan sesebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
"Ini tidak bermakna bahawa GLC secara membuta tuli mematuhi apa yang diwakili secara lisan kepada mereka sebagai arahan PM atau Menteri Kewangan atau mana-mana orang lain.
"Saya juga mengulangi apa yang saya katakan bahawa pelantikan atau penyingkiran pengarah perlu didahului dengan resolusi pengarah dan syarikat sebelum kelulusan perdana menteri diminta," katanya.
Najib berkata, jika Lembaga Pengarah mematuhi kata-kata CEO secara membuta tuli tanpa mengesahkan perkara itu dengan Kementerian Kewangan atau dengan beliau secara peribadi, ini jelas menunjukkan mereka lalai dalam menjalankan tugas.
Katanya, beliau juga mengambil perhatian bahawa walaupun semua kekecohan yang diperkatakan mengenai kuasa itu, tiada sebarang contoh khusus yang menunjukkan di mana beliau selaku perdana menteri 'memecat' mana-mana individu dalam SRC.
Sementara itu, Najib berkata, beliau tidak mempunyai sebarang kawalan ke atas pergerakan dan penggunaan RM3.6 bilion dana SRC International, yang diperoleh syarikat itu melalui dua peringkat daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).
Beliau berkata, peranannya dalam SRC International adalah semata-mata untuk mengesahkan keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengarah, yang dijangka menjalankan usaha wajar terlebih dahulu.
Dengan merujuk kepada tugas dan kuasa yang diberikan kepadanya dalam SRC International, Najib berkata, beliau tidak mempunyai sebarang jawatan atau kuasa dalam struktur tadbir urus korporat untuk menjalankan sebarang urus niaga SRC kerana ia hanya dalam bidang kuasa Lembaga Pengarah.
Katanya, beliau juga tidak pernah dimaklumkan dan tidak dapat untuk menjalankan pengesahan bebas terhadap pengeluaran dana SRC.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung esok.
Sumber – Berita Harian |
|
|
|
|
|
|
|
tapi kalau xde ribut takkan pokok xbergoncang, kan? |
|
|
|
|
|
|
| |
|