Edited by Vellfire at 26-9-2024 04:51 AM
Cadangan sedemikian menyebabkan pembaziran dana awam dan tidak diperlukan ketika ini
Gambar fail
"Tiada keperluan mendesak untuk pilihan raya awal apabila negara bergerak ke arah landasan yang betul, terima kasih kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan.”
Chiew Choon Man
Ketua Pemuda PKR Sarawak
Oleh Clare Cinderella
MIRI: Pemuda PKR Sarawak semalam menolak sekeras-kerasnya gesaan Ketua Pemuda Bersatu untuk mengadakan pilihan raya kilat bagi mengukur sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Pemuda PKR Sarawak Chiew Choon Man (gambar) berkata, cadangan sedemikian bukan sahaja menyebabkan pembaziran dana awam, bahkan sama sekali tidak diperlukan pada ketika ini.
"Tiada keperluan mendesak untuk pilihan raya awal apabila negara bergerak ke arah landasan yang betul, terima kasih kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan.
"Di bawah kepimpinan Perdana Menteri yang mantap dan berwawasan, kita telah melihat tanda-tanda pemulihan dan pertumbuhan ekonomi yang jelas.
"Inflasi terkawal, pelaburan (dalam dan luar negara) mengalir masuk, pasaran saham kita menunjukkan daya tahan dan (nilai) ringgit semakin stabil," katanya.
"Ini adalah petunjuk kukuh bahawa dasar kerajaan berfungsi dengan berkesan.
"Kita sedang menyaksikan hasil tadbir urus yang kukuh dan fokus kita seterusnya mestilah memastikan bahawa manfaat kemajuan ekonomi ini sampai ke setiap sudut negara, termasuk masyarakat luar bandar dan kurang mendapat perkhidmatan," tambahnya.
Chiew yang juga Ahli Parlimen Miri berkata, Perdana Menteri dan pasukannya telah bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk membawa kestabilan, pertumbuhan dan pembaharuan yang secara langsung memberi manfaat kepada rakyat.
"Kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya berbangga dengan hala tuju negara kita.
"Daripada mengganggu momentum ini dengan berpolitik yang tidak perlu, kita mesti menumpukan usaha untuk membina kejayaan ini demi kebaikan rakyat kita," tambahnya.
Sehubungan itu Pemuda PKR Sarawak katanya, menggesa BERSATU berhenti dengan politik yang tidak berkesudahan sebaliknya mengutamakan rakyat.
"Politik tidak seharusnya mengenai keuntungan peribadi atau parti, ia sepatutnya mengenai perkhidmatan kepada negara dan meningkatkan kehidupan rakyat.
"Perdana Menteri telah menunjukkan contoh yang jelas untuk memberi tumpuan kepada keperluan rakyat dan mengutamakan negara dan sudah tiba masanya untuk semua parti politik melakukan perkara yang sama," ujar Chiew lagi.
Beliau berkata, sekarang adalah masa untuk perpaduan dan kerja keras, bukannya permainan politik.
"Pemuda PKR kekal komited sepenuhnya untuk menyokong Perdana Menteri dan kerajaan perpaduan dalam misi mereka untuk memberikan pertumbuhan dan pembangunan yang berkekalan untuk semua rakyat Malaysia," tambahnya.
Chiew mengeluarkan demikian kepada Utusan Borneo di sini, semalam bagi membidas cabaran Ketua Penerangan BERSATU Razali Idris supaya Parlimen dibubarkan untuk mengadakan pilihan raya kilat bagi mengukur sokongan terhadap pentadbiran Anwar.
Terdahulu, sebuah portal berita dalam talian melaporkan Razali mencabar Anwar membubarkan Parlimen segera untuk memberi laluan kepada pilihan raya kilat sebagai jalan terbaik mengukur sokongan kerajaan masa kini, bukannya menerusi usul tidak percaya di Dewan Rakyat.
Jumaat lalu, Anwar mencabar pembangkang mengikut undang-undang dan proses betul dengan membawa usul undi tidak percaya terhadapnya pada sidang Dewan Rakyat bulan depan.
Penggal Parlimen ke-15 hanya tamat Disember 2027.
|