Polis minta bantuan orang ramai mengenal pasti mayat lelaki yang ditemui terapung di Sungai Penasu pada 28 Ogos lalu.
BINTANGOR: Mayat seorang lelaki yang ditemui terapung di Sungai Penasu, dekat sini, pada 28 Ogos lalu masih belum dikenal pasti identitinya.
Ketua Polis Daerah Meradong, Deputi Superintendan Sekam Anoi, memberitahu mayat tersebut ditemui pada jam 8.10 malam dalam keadaan tidak berbaju dan hanya berseluar panjang warna gelap.
"Sehingga kini siasatan masih dijalankan dan usaha mengenal pasti identiti adalah menjadi keutamaan.
"Berdasarkan keadaan mayat yang sudah reput dan berbau busuk, polis percaya ia telah berada dalam sungai selama lebih lima hari ketika ditemui ketika itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu katanya, polis memohon kerjasama orang ramai khususnya individu yang kehilangan saudara-mara berusia antara 30 hingga 50 tahun, untuk tampil ke Balai Polis Bintangor bagi membantu proses pengecaman.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat juga boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Mujok Seli menerusi talian 011-25068028 atau 084-691150 (pejabat).
"Mayat kini ditempatkan di Bilik Forensik Hospital Sarikei untuk tindakan lanjut," ujar beliau.
|