BERSALAH: Tertuduh keluar dari mahkamah selepas hukumannya ditangguhkan oleh Hakim Rosli Ahmad.
TAWAU: Seorang lelaki warga emas dipenjara lima tahun di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan, Mei tahun lalu.
Keputusan dibuat Hakim Rosli Ahmad selepas tertuduh, Jack Wong, 75, yang merupakan warga Australia didapati bersalah pada akhir kes pendakwaan berkenaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun ketika kejadian.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Pick Yard, dalam daerah Tawau antara 7.20 pagi hingga 8 pagi pada 20 Mei 2023.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Suhaimi Suriana, manakala tertuduh diwakili peguam, Mark Rosaidey Mohd Amin.
Perbicaraan yang bermula 3 Januari lalu menyaksikan pihak pendakwaan memanggil dua saksi, manakala pihak pembelaan memanggil seorang saksi iaitu tertuduh sendiri.
Mark Rosaidey memohon agar pelaksanaan hukuman terhadap anak guamnya ditangguhkan dengan mengekalkan jumlah wang jaminan sebelum ini.
Mahkamah kemudian membenarkan permohonan peguam tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman terhadap anak guamnya dan mengekalkan wang jaminan yang telah dibayar sebelum ini.
|