ALBUM: Chin (tengah), Presiden PWCS Glenna Wong (lima kanan) serta jawatankuasa penganjuran merakamkan gambar kenangan.
KOTA KINABALU: Lebih 800 peserta telah mendaftar untuk larian Anak Sabah Run 4.0 yang akan diadakan pada 29 September ini.
Acara yang dianjurkan Parti Liberal Demokratik (LDP) bersama-sama dengan Persatuan Wanita Cemerlang Sabah (PWCS) akan disempurnakan oleh Presiden LDP, Datuk Chin Su Phin serta Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Mohd Dun pada jam 6 pagi.
Pengerusi Penganjur, Wong Chek Men berkata, larian itu dibahagikan kepada empat dan lapan kilometer.
Katanya, laluan singkat adalah bermula dari Taman Awam Teluk Likas ke bulatan kedua di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu dan kembali ke taman itu.
"Laluan lapan kilometer pula akan menelusuri laluan Manara Kinabalu seterusnya kembali ke taman itu," katanya.
Beliau berbangga pihak penganjuran berjaya menjemput Azizah untuk melepaskan peserta larian lapan kilometer itu pada jam 6 pagi. Sementara Chin akan melepaskan para peserta untuk empat kilometer pada 6.15 pagi.
Menurutnya, edisi ke empat Anak Sabah Run tahun ini berjaya menarik lebih 800 penyertaan dan peserta untuk empat kilometer akan menerima kemeja-T serta pingat.
"Untuk peserta lapan kilometer, mereka bukan sahaja akan mendapat kemeja-T dan pingat, tetapi juga pelari lima teratas akan menerima hadiah serta piala berjumlah keseluruhan RM5,000," katanya.
Semua peserta diingatkan untuk mendaftar pada 5 pagi dan untuk maklumat lanjut boleh berhubung pada talian WhatsApp 014-3760027 atau 088-413286.
|