CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 21847|Reply: 2

[Tempatan] ULASAN | PH kena sedar, minta maaf kepada Umno. #2, 'Umno tak layak dapat permohonan maaf, patut syukur dapat talian hayat'. #3, Berterima kasih pada PH bantu bersihkan Umno, balas pemimpin PKR

[Copy link]
Post time 1-10-2024 11:13 AM | Show all posts |Read mode
Edited by EJALTI at 1-10-2024 03:21 AM

ULASAN | PH kena sedar, minta maaf kepada Umno

https://www.malaysiakini.com/news/721039

Nur Jazlan Mohamed
Diterbitkan:  Sep 30, 2024 6:30 PM
Dikemaskini: 6:30 PM



ULASAN | Selesai sudah PRK DUN Mahkota. Selepas dua minggu berulang alik Kuala Lumpur - Kluang - Johor Bahru sepanjang tempoh kempen, memang terasa sakit-sakit badan.

Jadi, semalam saya terus jumpa tabib Cina - buat rawatan tradisional akupuntur. Memang mujarab kaedah rawatan ini untuk hilangkan lenguh-lenguh dan sakit badan.

Apabila jarum-jarum itu dicucuk pada tempat-tempat tertentu, memang tidak terasa, tetapi selepas tabib memusing-musing jarum berkenaan, barulah terasa karen-karen. Sakit sedikit tapi memang melegakan.

Walaupun tak 100 peratus hilang rasa lenguh-lenguh itu, tapi ia amat selesa.

Macam itu jugalah yang saya rasa dalam politik dua tiga menjak ni. Ada masa saya cucuk-cucuk untuk mencari kelegaan dan merawat sakit dalam ketakselesaan.

Bukan apa, kita nak betulkan apa yang tak betul. Kita nak kurangkan sakit pada tempat sakit, dan kita nak sihatkan orang yang tak sihat. Jangan mudah rasa selesa walaupun kena cucuk jarum halus sebab ada masa dan tempatnya kita akan rasa ngilu.

Ketika menerima rawatan tu, saya teringat balik senario PRK DUN Mahkota. Calon Umno, Syed Hussein Syed Abdullah menang besar dengan majoriti lebih 20,000 undi.

Jumlah itu lebih separuh daripada majoriti pada PRN Johor lalu. Tahniah dan terima kasih kepada seluruh jentera Umno-BN yang berhabis-habisan berkempen.

Memang sudah sahlah calon Umno 'dijamin halal' dan diterima baik oleh rakyat Mahkota. Satu kejutan yang besar dan paling penting ia menjadi satu isyarat jelas: Umno kembali mendapat kepercayaan orang Melayu.

Kepercayaan itu ada di Nenggiri di sebelah utara yang negerinya menjadi tempat PAS memerintah, hinggalah ke selatan di Johor.

Petanda kepercayaan dah tak terhakis

Sebabnya daripada analisis awal, nampaknya undi orang Melayu kepada Umno di Mahkota ada peningkatan. Bagi saya, Mahkota menjadi saksi kemenangan besar buat Umno.

Ini bukan kemenangan biasa, tapi boleh dianggap sebagai kebangkitan semula buat Umno yang sebelum ini dilanda pelbagai cabaran dan kemerosotan sokongan dalam kalangan pengundi Melayu.

PRK Mahkota ini menunjukkan ada perubahan angin yang semakin positif buat Umno.

Jika kita bandingkan dengan PRN Johor sebelum ini, undi Melayu kepada Umno nampaknya bertambah dengan ketara. Ini mungkin satu isyarat bahawa orang Melayu mula kembali percaya dan yakin kepada perjuangan Umno selepas hampir dua penggal dicaci, dihina dan difitnah oleh lawan, serta kawan yang pernah menjadi lawan.

Dalam PRN Johor yang lalu, walaupun Umno menang bergaya di negeri ini, secara keseluruhan sokongan orang Melayu di negeri-negeri lain masih longgar.

Tetapi di Mahkota, angka undi Melayu yang menyokong Umno melonjak sekali gus menjadi petanda kuat kepercayaan yang terhakis sebelum ini mula pulih.



Bagi saya, kejayaan ini semuanya atas kehendak Allah SWT dan berkait rapat dengan usaha pemimpin serta ahli parti di semua peringkat untuk memperbaiki imej Umno, selain membela isu-isu utama masyarakat Melayu seperti ekonomi dan sosial.

Sokongan besar orang Melayu di Mahkota juga membuktikan mereka tidak termakan lagi tohmahan dan fitnah terhadap Ahmad Zahid Hamidi, serta yakin dengan keikhlasan perjuangan Melayu Islam beliau.

Jelas pengundi Melayu kembali melihat Umno sebagai satu-satunya parti yang masih mampu memikul tanggungjawab besar menjaga kepentingan bangsa dan agama.

Apatah lagi dengan PN semakin ke laut sebab hanya menunggang retorik pembela Islam dan Melayu. Akhirnya rakyat nampak penipuan PN selama ini dan hanya Umno menjadi pilihan yang lebih selamat sejak dulu bagi ramai pengundi Melayu.

Terjemahan penuh kerajaan perpaduan

Yang lebih membanggakan ialah calon Umno di Mahkota turut tapau semua saluran orang muda. Saya lihat trend ini bermula dari Nenggiri lagi dan membawa ke Mahkota.

Pemilihan calon muda pada dua-dua PRK itu nampaknya berjaya menambat hati pengundi muda dan membawa mereka lebih dekat kepada Umno.

Mungkin orang muda sudah dapat menilai macam mana Umno boleh membantu mereka pada masa depan berdasarkan "track record" cemerlang lebih 60 tahun menerajui negara sebelum ini.

Lagipun minda pengundi muda sudah berubah. Mereka tidak boleh lagi 'dibeli' jiwanya seperti yang dilakukan PN semasa PRU ke-14 dan PRU ke-15 dulu.

Undi Cina merosot tetapi terima kasih dan tahniah juga kepada DAP terutamanya Ahli ParlimenKluang, Wong Shu Qi, yang bekerja keras berkempen.

Tidak ketinggalan saya ucapkan tahniah juga kepada MCA terutamanya bekas exco Johor dan veteran parti itu, Jimmy Low, kerana memainkan peranan menarik undi orang lama dalam persatuan Cina di Kluang untuk menyokong calon Umno.



Saya lihat PRK Mahkota ini menterjemahkan sepenuhnya makna kerajaan perpaduan apabila semua parti berganding bahu. PH dengan PKR, DAP dan Amanah; manakala BN bersama Umno, MCA dan MIC; turun berkempen menarik pengundi dengan kepakaran masing-masing.

Memang boleh nampak suasana perpaduan itu.

Walaupun undi Melayu bertambah, tapi ada penurunan dalam jumlah pengundi Cina yang keluar mengundi berbanding dengan PRN Johor.

Hanya 34 peratus saja orang Cina keluar mengundi. Namun saya nak cakap ini tak bermakna mereka sudah 'angkat tangan' dalam politik. Sebaliknya saya lihat ada petanda positif kesedaran politik dalam kalangan pengundi Cina makin meningkat terutamanya mengenai isu-isu selain ekonomi.

Jadi tidaklah semua pengundi Cina opportunist.

Pencerahan memujuk pengundi

Saya berterima kasih kepada semua media yang selama ini banyak memberikan ruang liputan penulisan artikel saya termasuk Malaysiakini yang saya nampak bijak memetik isi penulisan saya dalam mengenai kepayahan DAP mengenal pasti pengundi akar umbi mereka daripada kelompok opportunist.

Nampaknya Malaysiakini berjaya memahami inti pati artikel itu. Sebab itulah ada segelintir pemimpin DAP yang melatah sebab mereka tahu itulah kelemahan mereka. Isu yang saya cuba ketengahkan ialah, bukannya semua pengundi Cina itu opportunist sebaliknya cuma segelintir saja.

Tetapi DAP gagal mengesan kumpulan akar umbi itu dan lebih 9,000 orang yang keluar mengundi pada PRK Mahkota baru-baru ini merupakan majoriti pengundi Cina yang ada kesedaran politik dan ekonomi.

Saya juga mendapat maklumat pemimpin veteran komuniti Cina banyak membantu menarik pengundi mereka dengan gerak kerja kempen melalui persatuan-persatuan setempat.

Jelas golongan veteran ini tidak lupa jasa dan pengorbanan Umno-BN membantu sosioekonomi mereka sejak awal merdeka. Mungkin penceritaan dan pencerahan mereka berjaya memujuk pengundi Cina untuk keluar mengundi Umno.

Lagipun apa yang saya tulis dalam artikel lepas pasal "macam kacang saja DAP boleh selesaikan isu sijil halal" itu nampaknya memberi kesan besar kepada pimpinan DAP.



Apabila saya cakap begitu ada yang kata saya menyindir dan memperlekehkan DAP. Malah ada seorang dua pemimpin mereka yang cepat melatah dan menyerang saya di media pilihan mereka.

Namun majoriti pemimpin DAP lebih rasional. Mungkin mereka ambil serius dan membaca sampai habis tulisan saya itu yang penuh fakta, dan bukannya sensasi semata-mata.

Dalam kerisauan pemimpin DAP terhadap isu Akmal Saleh, Teresa Kok dan sijil halal di Mahkota, mereka akhirnya berjaya sedikit memujuk pengundi Cina untuk balik atau keluar mengundi.

Apa yang saya nampak isu utamanya bukanlah sangat mengenai sijil halal yang membuat DAP marah tetapi kerana pemimpin expired DAP seorang itu yang terkena tapi mereka alihkan isu sijil halal pula.

Hal-hal perlu dielakkan

Bagi saya orang Cina kebanyakannya cerdik pandai, faham isu sebenar di sebalik sijil halal.

Jadi semua kena terima hakikat bahawa sejak awal merdeka lagi, parti-parti politik di Malaysia terbentuk berdasarkan kaum dan agama. Ini realiti politik kita.

Justeru seperti yang saya cakap sebelum ini, dalam konteks kerajaan perpaduan hari ini, setiap parti bertanggungjawab menjaga pengundi hardcore masing-masing.

Umno sebagai pejuang hak Melayu dan Islam, sudah tentu perlu terus fokus kepada undi Melayu. Itu memang kekuatan Umno. Begitu juga DAP yang selama ini sinonim dengan pengundi Cina - kena pastikan komuniti itu terus menyokong.

PKR pula menjaga keseimbangan dalam meraih sokongan dari tiga kaum utama — Melayu, Cina, dan India. Amanah mungkin boleh tumpang saja DAP atau PKR.

Begitu juga dengan MCA dan MIC. DAP atau PKR tidak boleh memandang remeh kemampuan dua parti ini untuk menarik undi orang Cina dan India.

Isunya sekarang, ada kecenderungan untuk sesetengah parti bergantung harap kepada rakan sekutu mereka untuk menjaga pengundi tertentu. Ini yang saya cakap bahawa kita semua kena elakkan.


Nurul Izzah Anwar

Kalau semua parti nak lepaskan tanggungjawab dan serah bulat-bulat kepada parti lain, itu petanda awal yang kerajaan perpaduan ini bakal goyah.

Sebab itu saya tidak setuju dengan pendapat Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, yang berkata pilihan raya bukan berkenaan satu parti saja. Itu tak tepat.

Memang menjadi tanggungjawab setiap parti untuk memujuk dan meyakinkan pengundi masing-masing kemudian digabungkan dan jadi kuat.

Kata kerajaan perpaduan... jadi semua kena buat kerja ikut padang masing-masing. Setiap parti kena ikhlas memainkan peranan sendiri.

Umno jangan harap DAP untuk mendapatkan undi Melayu, begitu juga DAP tidak boleh serahkan tanggungjawab menguruskan undi Cina kepada parti lain.

Jangan bising-bising dulu

Kekuatan kerajaan perpaduan bergantung pada keikhlasan semua parti menjalankan tanggungjawab masing-masing sambil menghormati peranan dan sumbangan rakan-rakan.

Apabila Umno berjaya mendapatkan undi Melayu, DAP kekalkan sokongan pengundi Cina, dan PKR pula pastikan sokongan pelbagai kaum - barulah pakatan ini boleh diperkukuhkan lagi.

Itupun kalaulah PH masih mahukan kerajaan perpaduan bersama-sama memasuki PRU ke-16. Kalau tak nak, lainlah pula cerita dan caranya.

Jadi sama ada DAP, PKR atau Amanah, janganlah cepat cari alasan sebelum buat kerja. Usaha dulu barulah nak bising-bising.

Macam Umno sebelum ini apabila perlu membantu calon PH di PRK Pulai dan Simpang Jeram. Saya selaku pengarah pilihan raya PRK Pulai taklah nak bising-bising dulu.

Saya cakap, saya akan pujuk pengundi Umno dan Melayu untuk menerima serta mengundi calon Amanah. Akhirnya saya dan Umno berjaya memenangkan calon PH itu.

Jadi, apa yang susahnya? Tinggal ikhlas nak buat atau tidak saja.



Sebab itulah saya cakap, tiada satu pun parti yang bekerjasama dalam kerajaan perpaduan hari ini boleh mendakwa bahawa merekalah tunjang utama pakatan berkenaan dan perlu mengubah corak pemikiran, pendekatan dan sentimen untuk memastikan kesefahaman itu kekal sehingga PRU ke-16.

PH kena sedar dan mungkin kena minta maaf kepada Umno atas segala tohmahan, tuduhan dan persepsi yang telah mereka cipta sejak berpuluh tahun lalu hingga menyebabkan Umno dipandang kotor oleh para pengundi.

Sebab hari ini PH nampaknya amat memerlukan sokongan Umno untuk terus menjadi kerajaan.

Kalau kita tengok senario politik sekarang, memang tidak ada mana-mana parti dalam kerajaan perpaduan boleh berlagak hero, apatah lagi nak claim mereka tunjang utama sebab ada lebih kerusi.

Ini bukan zaman nak jadi jaguh sorang-sorang lagi. Semua parti kena sedar, kekuatan kerajaan perpaduan ini terletak pada kesepakatan dan keikhlasan masing-masing.

Bukan lagi isu perpecahan

Semasa PRU ke-16 nanti, kalau nak kekal berkuasa, semua kena main peranan dan elak sikap angkuh. Silap hari bulan, runtuh semua yang dibina.

PH khususnya kena terima hakikat bahawa mereka tidak lagi boleh terus embawa sentimen lama, terutama terhadap Umno. PH sejak puluh tahun dulu serang Umno sampai berjaya cipta persepsi buruk dalam kalangan pengundi — kononnya Umno penuh dengan rasuah, kronisme dan salah guna kuasa.

Ironinya, hari ini PH terpaksa bergantung pada Umno untuk kekal berkuasa. Tapi jangan pula takut kalau Ahmad Zahid dan Umno yang bertambah kukuh ini dilihat sebagai ancaman.

Sebab itu, ada baiknya kalau PH mengambil langkah berani dengan minta maaf secara terbuka kepada Umno. Bukan saja untuk membersihkan hubungan antara mereka, tapi juga untuk tunjukkan kepada rakyat bahawa politik hari ini sudah berubah.

Politik bukan lagi tentang perpecahan, sebaliknya mengenai kesatuan demi kestabilan negara.

Kalau PH mahu pastikan sokongan Umno kekal, mereka perlu memperbetulkan persepsi yang mereka bina selama bertahun-tahun lalu.

Pengundi Melayu pun bukannya bodoh. Mereka boleh nampak hipokrasi kalau PH terus nak buat-buat tak nampak jasa Umno dalam kerajaan perpaduan ini.



Suka atau tidak, hari ini PH amat memerlukan Umno. Tanpa undi Melayu yang dibawa Umno, PH boleh melupakan harapan untuk kekal dalam kerajaan.

Jadi, kalau betul PH nak pastikan kerajaan perpaduan ini boleh bertahan hingga PRU ke-16, inilah masanya untuk mengubah pendekatan.

Paling penting, politik perlu menjadi lebih matang. Jangan cepat nak melatah atau marah-marah dalam sesuatu isu.

Semua parti dalam kerajaan perlu tinggalkan ego masing-masing dan fokus pada kepentingan bersama. Kalau terus dengan sentimen lama, jangan terkejut kalau PRU ke-16 nanti tidak ada siapa pun boleh kekal jadi kerajaan.

Jangan hanya fikir kuasa

Saya pun nak pesan kepada Pemuda Amanah dan pucuk pimpinan, biarlah beri sumbangan besar dulu sebelum tuntut macam-macam seperti keinginan kerajaan perpaduan di Johor lepas Umno menang di Mahkota.

Zaman Mahathir Mohamad jadi PM sekali lagi tu pun, ramai ahli Amanah diberi peluang jadi ahli majlis dan ketua kampung tapi tak efektif untuk membantu kerajaan PH mengekalkan kuasa di DUN Johor.

Amanah ada sembilan kerusi yang mereka menang semasa PRU 2018. Selepas PRN Johor pada 2022, Amanah hanya dapat menang satu kerusi saja.

Amanah pun hanya harapkan sokongan pengundi Cina DAP saja. Kalau harapkan orang Melayu nak sokong dan undi Amanah memang tak ada lagi.

Itu pun Umno yang kena tolong pujuk pengundi Melayu supaya mengundi calon Amanah.

Tanyalah Suhaizan Kaiat bagaimana saya dan Umno Pulai kena pimpin untuk berjumpa pengundi Umno yang tidak mengenali dia.

Akhirnya 12,000 undi undi memberi dia kemenangan besar dengan majoriti 18,000 di PRK Pulai tahun lepas. Keadaan ini berbeza di Mahkota apabila undi bukan Melayu rendah tapi kami berterima kasih kerana majoriti bertambah.

Jadi tidaklah hebat sangat macam geng Amanah sembang.

Biarlah ahli BN yang banyak pengalaman mentadbir dan memimpin buat kerja. Jangan hanya fikir mahu kuasa dan jawatan saja tapi kerja 'ke laut'.

Tirulah DAP - banyak kerusi dan memberi sumbangan besar tapi mereka rileks saja. Lagipun jasa Umno memenangkan dua calon Amanah dalam PRK Pulai dan Simpang Jeram tu pun masih tak terbalas lagi.

Nota bekas tapak kaki:

Bersatu kalah lagi dan lagi. Macam saya cakap dua minggu lalu, Bersatu akan berkubur di Johor, dan nampaknya firasat saya tepat. Bersatu sudah boleh tempah batu nisan mereka.

Selepas keputusan PRK Mahkota, memang sah Bersatu ditolak sepenuhnya di Johor dan insya-Allah menjelang PRU ke-16 nanti, parti itu akan ditolak oleh seluruh rakyat Malaysia.

Memang Bersatu malu besar. Tambahan pula Muhyiddin Yassin menemui jalan kegagalan di hujung karier politiknya.

Tidak mustahil Muhyiddin akan bersara dalam keadaan yang memalukan. Bersatu sekarang ni tidak lebih daripada seperti orang yang sudah mati tapi belum disemadikan.



Apatah lagi jumlah undi hanya 12.5 peratus yang diterima calon Bersatu di Mahkota hampir hilang deposit. Kalau dulu ada juga simpati, kali ini orang Johor sudah tidak peduli langsung.

Dengan calon Bersatu pula jenis tangkap muat, pemimpin mereka yang turun berkempen pula hanya kitar semula isu basi, mereka gagal 'memperbodohkan' rakyat.

Pengundi Mahkota lebih bijak memilih dan mahukan pemimpin yang boleh membawa perubahan, bukannya parti yang hilang arah tuju.

Apa yang tinggal untuk Bersatu sekarang? Sudahlah kepimpinan dalaman pun haru-biru dan bercelaru.

Muhyiddin? Sibuk dengan nostalgia jadi perdana menteri sementara. Hamzah Zainudin? Tengah cari jalan nak ambil alih parti. Tapi apa yang nak diambil sebenarnya kalau kapal tu dah karam?

Kesian juga pada Azmin Ali yang kuat berkempen di Mahkota tapi akhirnya ke parit.

Selamba ke Iran

Parti itu bagaikan rumah yang menuunggu masa untuk roboh tapi pemimpin-pemimpin di dalamnya sibuk berebut serpihan kayu reput.

Saya tidak mahu ulas panjang-panjang bab Bersatu ni sebab ia hanya membazirkan masa saya saja.

Cuma saya nak sentuh sikit pasal PAS. Parti itu sudah melihat semula berapa nilai Bersatu dalam PN sekarang. Sebab itulah mereka nak Muafakat Nasional dihidupkan semula.

PAS dah tidak perdulikan Bersatu yang tiada nilai. Sebab itulah presidennya, Abdul Hadi Awang, boleh selamba pergi ke Teheran ketika sekutunya - Bersatu - berperang di Mahkota.

Akhir sekali, syukur alhamdulillah kerana kerajaan perpaduan dan keserasian kerjasama antara BN dan PH ini bertambah selesa.

Sebenarnya bukan senang untuk integrasi parti yang mempunyai akar umbi yang setia macam Umno dan PH - yang berstruktur pengkaderan di peringkat atas parti - membentuk kerjasama serta kesepakatan seperti di Mahkota.

Tapi saya yakın kerjasama ini akan berterusan. Mana tahu tidak lama lagi ada PRK lagi di Muar. Ia merupakan kawasan bandar majmuk macam Mahkota. Kita kena bersedia.

NUR JAZLAN MOHAMED ialah Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara dan bekas Ahli Parlimen Pulai.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 1-10-2024 11:17 AM | Show all posts
'Umno tak layak dapat permohonan maaf, patut syukur dapat talian hayat'

https://www.malaysiakini.com/news/721068

RK Anand
Diterbitkan:  Oct 1, 2024 8:55 AM⋅
Dikemaskini: 8:57 AM



RK Anand
Diterbitkan:  Oct 1, 2024 8:55 AM
Dikemaskini: 8:57 AM



Selepas disingkirkan daripada tampuk kuasa pada pilihan raya umum (PRU) 2018, Umno mengalami prestasi terburuk dalam pilihan raya negara empat tahun kemudian tetapi masih berjaya kembali ke dalam pentadbiran selepas menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Susulan kemenangan berturut-turut dalam pilihan raya kecil (PRK), Ahli Majlis Tertinggi Umno Nur Jazlan Mohamed baru-baru ini meminta PH memohon maaf kerana memberi gambaran buruk kepada partinya selama beberapa dekad.

Ahli akademik Tajuddin Mohd Rasdi bersetuju dengan Nur Jazlan bahawa tiada satu parti pun boleh mengaku sebagai tulang belakang kerajaan perpaduan ketika ini.

Bagaimanapun Tajuddin berkata senarai panjang kesalahan Umno menyebabkan ia tidak layak menerima permohonan maaf.


“Siapa yang hampir bankrapkan negara kalau bukan Umno? Siapa yang menyemai benih permusuhan kaum kalau bukan Umno?

“Siapa yang ajar (Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad) Akmal (Saleh) menggunakan kata-kata penghinaan untuk memenangi pengundi sesuatu kaum dengan mengorbankan maruah orang lain, siapa lagi kalau bukan veteran Umno, khususnya bekas presidennya yang paling lama berkhidmat Dr Mahathir Mohamad?” katanya kepada Malaysiakini.


Tajuddin Mohd Rasdi

Bertentangan dengan dakwaan Nur Jazlan bahawa PH "sangat memerlukan" Umno untuk terus berkuasa, dia menegaskan bahawa gabungan pimpinan Anwar Ibrahim yang menawarkan talian hayat buat Umno yang "terdesak" selepas PRU lalu.

Profesor seni bina, yang mendiagnosis Nur Jazlan menghidap "penyakit Akmal dalam menuntut mohon maaf", menegurnya kerana tidak menggunakan talian hayat kedua ini untuk membetulkan kesalahan Umno yang lalu.

“Daripada menggunakan kemenangan PRK untuk merapatkan hubungan antara bekas lawan bagi membuka lembaran baru ke arah Malaysia yang lebih baik, Nur Jazlan memilih untuk membuka luka lama,” katanya.

Tajuddin menarik perhatian bahawa jika Umno memilih untuk kekal bersama Perikatan Nasional (PN), perananya sebagai parti mewakili orang Melayu akan berkurang memandangkan PAS dan Bersatu juga membawa imej itu.

“Dalam kerajaan sekarang, saya ingin berfikir bahawa walaupun PH mempunyai bahagian terbesar ahli parlimen, Umno berdiri sama tinggi dengan yang lain sebagai rakan kongsi yang sama,” katanya.

Bagaimanapun, Tajuddin berkata kenyataan Nur Jazlan membuktikan bahawa tabiat lama sukar dihentikan dan Umno masih bekerja di bawah khayalan bahawa ia "abang besar" yang mesti dihormati.


Nur Jazlan Mohamed

“Ini mungkin kedengaran agak klise, tetapi memandangkan pemimpin Umno seperti masih tak tahu, terpaksa diulang - penghormatan diraih oleh yang berhak, bukan dituntut.

"Nur Jazlan bersifat kebudak-budakan apabila menuntut permohonan maaf," katanya, sambil menyifatkan ia sebagai "kacang lupakan kulit" atau "tidak bersyukur".

Semasa perhimpunan agung Umno pada Ogos, pemimpin seperti Akmal menjelaskan bahawa parti itu tidak akan berpuas hati dengan menjadi rakan kongsi dalam gabungan pemerintah.

Dalam ucapannya, ahli politik yang terkenal dengan kenyataan kontroversinya itu menegaskan Umno mesti menjadi kuasa dominan semula.

Nur Jazlan, sebaliknya, mengingatkan bahawa "keangkuhan" boleh merungkai kerjasama antara parti-parti yang penting bagi kerajaan perpaduan dalam menghadapi PRU akan datang.

Dia berkata PH tidak boleh lagi berpegang kepada "sentimen lama" bahawa Umno korup.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 1-10-2024 11:20 AM | Show all posts
Berterima kasih pada PH bantu bersihkan Umno, balas pemimpin PKR

https://www.malaysiakini.com/news/721070

Diterbitkan:  Oct 1, 2024 9:25 AM
Dikemaskini: 9:25 AM



Seorang pemimpin PKR membidas Nur Jazlan Mohamed, yang mencadangkan Pakatan Harapan (PH) memohon maaf atas tuduhan yang dilemparkan terhadap Umno pada masa lalu.

Menurut Razeef Rakimin (gambar atas), Umnolah yang sepatutnya berterima kasih kepada PH kerana menurutnya tanpa gabungan itu, parti berkenaan masih angkuh dan korup.

"Umno membusuk hingga ke usus dan diakui sendiri oleh beberapa pimpinan parti berkenaan. Tetapi selepas bersama PH barulah Umno perlahan-lahan bersih dari sikap angkuh, sombong serta jauh dari rasuah dan salah guna kuasa,” kata timbalan ketua penerangan PKR itu dalam catatan Facebook.

Razeef menjawab ahli majlis tertinggi Umno itu yang berkata PH "sangat memerlukan" partinya untuk terus berkuasa.

Jazlan, yang mengulas mengenai kemenangan BN dalam PRK Mahkota di Johor Sabtu lepas, berkata tiada pihak boleh mendakwa sebagai "tulang belakang" kerajaan perpaduan.

Nur Jazlan berkata PH mesti memohon maaf kepada Umno atas segala tuduhan yang menyebabkan Umno dipandang negatif oleh pengundi.

Nur Jazlan juga memberi amaran terhadap "keangkuhan", dengan menyatakan bahawa ia boleh memecahkan kerjasama antara parti, yang penting bagi kerajaan perpaduan dalam menghadapi PRU akan datang.



Bagaimanapun, Razeef berkata Umno tidak seharusnya mendabik dada Dengan kemenangannya dalam PRK Mahkota kerana ia tidak akan berlaku tanpa bantuan PH.

Dia menegaskan bahawa PH bekerja keras untuk memastikan penyokongnya keluar mengundi dan membuang undi mereka untuk calon Umno.

“Inilah perangai sesetengah pemimpin Umno yang masih belum terhakis, angkuh. Baru menang beberapa kerusi sudah mendabik dada,” katanya lagi.

Dalam PRK Mahkota, calon BN Syed Hussien Syed Abdullah mengalahkan calon Perikatan Nasional Mohd Haizan Jaafar.

Dia mengekalkan kerusi untuk Umno dengan majoriti 20,648 undi, atau kira-kira empat kali ganda daripada yang dicapai pada pilihan raya negeri pada 2022.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

18-11-2024 02:37 PM GMT+8 , Processed in 0.656264 second(s), 18 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list