|
Saya okay - Khadijah Ibrahim
https://www.bharian.com.my/hibur ... ay-khadijah-ibrahim
Oleh Farihad Shalla Mahmud - September 30, 2024 @ 11:00pm
[email protected]
Keadaan kereta pacuan empat roda dinaiki Datuk Khadijah Ibrahim (gambar kecil) yang terbabit kemalangan dengan sebuah Toyota Avanza dekat Taman Kinamas, Jalan Beaufort - Kota Kinabalu, Beaufort, Sabah petang tadi.- Foto ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Beaufort
KUALA LUMPUR: "Saya okay dan tiada kecederaan serius."
Demikian reaksi penyanyi veteran, Datuk Khadijah Ibrahim, 65, yang dilapor terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan dari Brunei Darussalam ke Kota Kinabalu di Beaufort, Sabah, petang tadi.
Khadijah yang juga Pengerusi Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) berkata, beliau akan meneruskan tugas seperti biasa biarpun ditimpa musibah.
Foto Foto ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Beaufort
"Saya akan terus bekerja seperti biasa," katanya kepada BH Online menerusi aplikasi WhatsApp.
Difahamkan, Khadijah penyanyi berada di Brunei Darussalam dan Kota Kinabalu kerana menguruskan soal tajaan dan pembelian meja untuk Konsert Amal Legends di Sabah International Convention Centre (SICC) di Kota Kinabalu, pada 1 November depan.
Selain Khadijah, konsert itu menampilkan penyanyi rock, Datuk Ramli Sarip, Datuk Jamal Abdillah, gitaris terkenal, Man Keedal serta penyanyi kekahiran Sabah seperti Azharina dan Ayu Damit.
Sementara itu, Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez lega selepas dimaklumkan Khadijah berada dalam keadaan baik.
"Khaty hubungi saya dan beritahu dia dalam keadaan baik.
"Dia berjanji akan hubungi saya untuk memaklumkan perkembangan terkini. Mungkin sekarang dia sibuk uruskan soal kemalangannya itu.
"Jadi, saya tunggu sahaja panggilannya," katanya.
Pada kejadian jam 5.28 petang itu, kereta pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dinaiki Khadijah dilapor bertembung dengan Toyota Avanza, dekat Taman Kinamas, Jalan Beaufort-Kota Kinabalu..
Selain Khadijah, turut cedera dalam kenderaan pikap terbabit adalah Baharuddin Hassan, 70 dan Kharnita Adrianti Aminudin, 40.
Bagaimanapun, media melaporkan Khadijah hanya mengalami cedera ringan dan berdarah sedikit di tangan.
Ketiga-tiga mereka dapat keluar sendiri daripada kenderaan sebelum anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat tiba membantu mangsa.
|
|