Edited by maklukpenggoda at 3-10-2024 05:02 AM
Shah Alam: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sudah membuat tangkapan terhadap 108 individu yang disyaki terbabit dengan GISBH Holdings (GISBH) setakat ini.
Pengarah Jais Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, kesemua individu yang ditangkap disyaki terbabit pelbagai kesalahan jenayah syariah meliputi perkara berkaitan akidah, pungutan khairat tanpa kebenaran dan perkahwinan.
Menurutnya, siri tangkapan ini dijangka akan berterusan membabitkan suspek yang disyaki dan sudah dikenal pasti berdasarkan risikan, aduan dan maklumat yang diterima oleh Jais.
"Jais mendapati wujud beberapa fakta mengenai amalan dan kepercayaan bercanggah dengan fatwa yang dikuatkuasakan, ini termasuk amalan mempercayai pimpinan adalah sesuatu yang memberikan keberkatan kepada ahli dan membolehkan ahli masuk syurga.
"Begitu juga mengamalkan (tarekat) Aurad Muhammadiah, percaya Abuya (pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad) tidak mati dan berada di alam ghaib, mayat Abuya terapung kerana Allah angkat Abuya, Rasulullah SAW atau Abuya hadir dalam majlis-majlis tertentu anjuran kumpulan," katanya dalam kenyataannya, hari ini.
Mohd Shahzihan berkata, siasatan turut mendapati perkahwinan dan perceraian dalam GISBH diatur pemimpin kumpulan dan menjalankan akad perkahwinan dengan cara ditentukan oleh pemimpin.
Katanya, perkahwinan itu tidak dapat dibuktikan dengan keterangan dokumen yang sah, malah perkahwinan antara anak dara dan teruna dibuat tanpa kebenaran Pendaftar Perkahwinan, Cerai dan Rujuk Orang Islam Negeri Selangor serta poligami tanpa kebenaran Mahkamah Syariah.
"Situasi dan keadaan ini menyebabkan berlaku kecelaruan dalam penentuan nasab, status perkahwinan serta dokumentasi perkahwinan ibu bapa kanak-kanak (mangsa).
"Perkara ini dijangka memberi kesan terhadap kanak-kanak dan tidak mustahil ia berpotensi menjejaskan penentuan nasab serta memungkinkan berlakunya pernikahan fasid atau wati' syubhah," katanya.
Katanya, Jais menjalin kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pendaftaran Negara serta agensi berkepentingan lain untuk mengenal pasti salasilah sebahagian besar dari 435 kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global.
Harian Metro
|