View: 12414|Reply: 0
|
[Dunia]
Songket Malaysia jadi tumpuan di Amerika
[Copy link]
|
|
Songket Malaysia jadi tumpuan di Amerika
https://www.bharian.com.my/berit ... -tumpuan-di-amerika
BERNAMA - Oktober 4, 2024 @ 4:59pm
KUALA LUMPUR: Songket, tekstil tradisional Malaysia dipamerkan buat pertama kali di Amerika Syarikat (AS) dalam satu acara di Muzium The George Washington University dan Muzium Tekstil, Washington, DC.
Acara yang dianjurkan Kedutaan Malaysia itu memperkenalkan tradisi mewah dan keindahan songket kepada hadirin Amerika. Majlis dirasmikan Duta Besar Malaysia ke AS, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Acara berkenaan dihadiri hampir 200 tetamu, secara langsung dan dalam talian, termasuk Pengarah Muzium The George Washington University dan Muzium Tekstil, Dr John Wetenhall serta Penyelaras Akademik Pusat Kajian Cotsen Textile Traces, Karthika Audinet.
Dalam satu kenyataan, Kedutaan Malaysia memaklumkan bahawa kuliah hibrid dan pameran mikro diadakan bersempena acara berkenaan.
Pembentangan mengenai songket yang terkenal dengan sutera mewah disulam dengan benang emas atau perak berkilauan, dibuat Kurator Kanan Bahagian Pengurusan Koleksi, Jabatan Muzium Malaysia, Nirmala Sharippudin.
Hadirin berpeluang melihat sekilas koleksi songket bersejarah yang jarang ditemui, dengan beberapa helai berasal dari 1800-an, menonjolkan keindahan dan evolusi tekstil itu dari semasa ke semasa.
Songket yang secara tradisinya dipakai semasa majlis penting, berfungsi sebagai simbol kekayaan budaya Malaysia, menggabungkan reka bentuk rumit dengan makna mendalam.
Songket diiktiraf oleh UNESCO sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara pada 2021.
Dalam satu kenyataan berasingan, Kedutaan Malaysia memaklumkan, akan menganjurkan program 'Hari Songket Malaysia' dari 11 hingga 25 Oktober.
Acara itu akan diadakan di Kedutaan Malaysia di Washington DC dan akan menampilkan pameran, pertunjukan fesyen serta demonstrasi tenunan songket.
Mohamed Nazri berkata, beliau memilih untuk mempromosikan songket bagi menandakan sambutan Hari Malaysia ke-61 supaya tetamu dapat menghargai keindahan seni kraf tangan itu.
"Selain menghormati warisan kita, saya juga ingin mempromosikan pertukaran budaya dan pemahaman antara Malaysia dan Amerika Syarikat.
"Saya berharap ini akan menarik minat global terhadap tekstil tradisional kita dan memudahkan kemasukannya ke pasaran yang lebih luas," katanya.
Perayaan selama dua minggu itu akan dimulakan dengan Pertunjukan Fesyen The Magnificent Golden Threads of Songket dan pelancaran rasmi Pameran Hari Songket Malaysia pada 10 Oktober.
Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakry Petra Almarhum Sultan Muhammad Petra, juga akan hadir untuk merasmikan dan menyokong Songket Malaysia di Washington DC, menurut kenyataan itu.
Pertunjukan fesyen itu akan menampilkan hasil ciptaan pereka terkenal Malaysia, Sharifah Kirana serta pereka muda yang sedang meningkat, Zachrin Jaafars.
Tekstil Songket dari Muzium Tekstil Negara Malaysia akan turut dipamerkan.
Beberapa artis dan penggiat seni akan diterbangkan ke Washington untuk pelancaran itu, antaranya Adiguru Kelthom Hussein, pemilik Che Minah Songket yang akan menunjukkan seni tenunan songket.
Peminat seni juga berpeluang menyaksikan demonstrasi langsung lukisan mural oleh artis Dani Omar, yang menggunakan media campuran.
Pameran Hari Songket Malaysia akan dibuka kepada orang awam di Kedutaan Malaysia yang terletak di 3516 International Court, NW, Washington DC, dari 2 petang hingga 4 petang setiap hari sepanjang acara berkenaan.
|
|
|
|
|
|
|
| |
|