Sayur-sayuran yang disimpan dalam tandas sebuah premis kedai runcit di kawasan perindustrian Tanjung Minyak Perdana. - Foto ihsan KPDN Melaka.
MELAKA: Sebuah premis kedai runcit di kawasan perindustrian Tanjung Minyak Perdana di sini, bukan saja gagal mematuhi Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011, malah dikesan menyimpan dan membersihkan sayur-sayuran dalam tandas sebelum dijual kepada pembeli.
Kesalahan itu terbongkar hasil pemeriksaan mengejut Op Samar dilakukan sepasukan empat pegawai dan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, di premis itu akhir bulan lalu.
Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar, berkata pemeriksaan ke atas premis dikendalikan warga asing itu dilakukan 30 September lalu bermula jam 10 pagi hingga 1 tengah hari hasil intipan selama dua hari susulan aduan orang awam.
"Ketika pemeriksaan, anggota penguat kuasa menemui barangan (sayur-sayuran) yang hendak dijual disimpan terlebih dahulu dalam tandas premis dan kita syaki bagi tujuan dicuci sebelum dijual.
Pemeriksaan menyeluruh tanda harga pada semua barangan pula mendapati barangan laksa segera dalam pek sudah tamat tempoh dan tidak sesuai dijual kepada pengguna," katanya dalam kenyataan hari ini.
Norena berkata, hasil pemeriksaan menyeluruh termasuk uji beli bagi mengesan salah laku peniaga didapati premis usahasama warga tempatan dan asing itu juga gagal mematuhi AKHAP 2011.
Beberapa kesalahan dilakukan pengendali premis antaranya gagal mematuhi Perintah Penandaan Harga pada Barangan dan Caj Perkhidmatan 2020 termasuk mengenakan caj penghantaran.