Oleh Noorazura Abdul Rahman - Oktober 14, 2024 @ 4:44pm [email protected]
Mohd Naim Asri Baharom, 46, penduduk Kampung Teluk Rambong, Baling tidak dapat menahan sebak mengenangkan rumah pusakanya musnah dilanda banjir kelmarin. - Foto NSTP/Adie Zulkifli
BALING: Rumah saya berubah menjadi 'sungai' hari ini selepas banjir sekali lagi melanda kampung ini malam tadi," kata Mohd Naim Asri Baharom, 46.
Penduduk Kampung Teluk Rambong itu berkata rumahnya yang musnah akibat banjir semalam masih mempunyai halaman namun hari ini berubah menjadi sungai.
Sebelum ini dia membina penghadang daripada bata bagi menghalang air dan pasir masuk ke kawasan rumah bagaimanapun usaha itu sia-sia.
"Semalam di sini boleh duduk lagi, tiada air, malam tadi air masuk ke dalam rumah, ...kalau air datang lagi hari ini, akan berubah pula esok, mungkin sentiasa berubah kalau banjir.
"Semalam hanya lumpur dalam rumah bersama sisa jambatan yang hanyut tetapi hari ini batu dan pasir penuh dalam rumah, ...rumah dah jadi laluan air," katanya ditemui hari ini.
Menurutnya, keadaan dinding dan bumbung yang roboh semalam menjadi lebih teruk malam tadi dan dia sudah tidak berharap untuk tinggal di situ lagi selepas ini.
"Saya tak nampak harapan untuk tinggal di rumah ini lagi, ..memang perlu cari kawasan lain untuk tinggal, nak kena sewa rumah di mana yang kosong.
"Perasaan sedih tak boleh nak cerita (gambarkan), ...rumah pusaka tempat saya membesar bersama adik-beradik. Memang banyak kenangan, semalam semua sudah lenyap," katanya sebak.
Semalam media melaporkan rumah pusaka milik Mohd Naim Asri hampir musnah dalam banjir kelmarin yang membawa pokok, batu dan lumpur.