KUCHING: Seorang wanita warga emas berusia 64 tahun ditahan untuk membantu siasatan kes pemerdagangan dan penyeludupan orang (ATIPSOM) di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Sarawak telah melakukan serbuan ke atas sebuah rumah di Jalan Chawan sekitar jam 6 petang.
Menurutnya, dalam serbuan tersebut, pihak polis menjumpai dua wanita warga asing dipercayai mangsa kes ATIPSOM.
“Polis berjaya menyelamatkan dua wanita warga asing berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun yang menjadi mangsa eksploitasi buruh paksa.
“Pihak polis turut menahan seorang wanita tempatan berusia 64 tahun untuk membantu siasatan pihak polis,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 12 Akta ATIPSOM 2007.
Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan denda.
Sebarang maklumat berhubung kejadian boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Chris Olsen Ramlee di talian 082-241133.
“Justeru orang ramai menyeru orang awam untuk tampil menyalurkan sebarang maklumat berkaitan eksploitasi buruh paksa dengan menghubungi pusat kawalan IPD Kuching di talian 082-244444.
“Maklumat juga boleh disalurkan di mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
|